Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berhasrat melaksanakan inisiatif cadangan baharu berkenaan infrastruktur secara alternatif iaitu jalan raya luar bandar alternatif dan bekalan air luar bandar alternatif.
Menterinya, Datuk Rubin Balang berkata, selain daripada jalan raya jenis R2 dan R3 di bawah Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR), jalan sedia ada yang diklasifikasikan sebagai non-qualified road tidak termasuk dalam skop penyenggaraan jabatan itu.
“Oleh itu, jalan tersebut adalah sesuai diletakkan di bawah tanggungjawab KPLB dengan dibahagi kepada tiga skop iaitu Jalan Perhubungan Ekonomi Komuniti (JPEK), Jalan Perhubungan Komuniti (JPK) dan Jalan Perhubungan Desa (JPD),” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Beliau berkata, bagi Bekalan Air Luar Bandar Alternatif, kementerian bercadang melaksanakan kaedah yang cepat dan berkesan seperti penggunaan solar pump, sumber air graviti dan sumber air bawah tanah.
Melalui kaedah ini, katanya, bekalan air bersih akan dapat disalurkan ke kawasan-kawasan yang tidak diliputi bekalan air terawat oleh Jabatan Air Sabah.
“Kedua-dua inisiatif ini akan dibawa ke sesi libat urus bersama Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam masa terdekat,” katanya.



