KOTA KINABALU : Seni kreatif dijadikan medium berkesan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menyemai kesedaran mencintai alam sekitar dalam kalangan murid sekolah sempena sambutan Hari Bumi 2026.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi One Health Student Club (OHSC) UMS yang dijemput oleh Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu untuk menganjurkan program kesedaran khas melibatkan 21 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) ST. Philip, Tamparuli.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada penterjemahan mesej kelestarian melalui aktiviti seni kreatif seperti penghasilan lencana dan magnet peti sejuk menerusi projek “Bumi di Genggamanku: Lencana Harapan Saya” serta “Lekat & Janji: Janji Hijau Murid Kreatif”.
Penasihat OHSC UMS, Profesor Madya Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad berkata program itu menjadi platform sesuai memperkenalkan konsep One Health kepada murid, yang menekankan hubungan rapat antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
“Melalui aktiviti ini, murid bukan sahaja menghasilkan karya seni, malah berpeluang menterjemahkan nilai murni serta komitmen mereka terhadap alam sekitar dalam bentuk yang lebih bermakna dan berimpak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Yvonne Sipain berkata kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak hotel dalam menyokong pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.
Beliau berkata program seumpama itu mampu memperkukuh nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda selain memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Dalam pada itu, seorang wakil murid, Candelle Ohia Hosana, meluahkan keterujaan menyertai program berkenaan kerana dapat mempelajari cara menjaga alam sekitar secara kreatif.
“Saya gembira dapat hasilkan lencana dan magnet sendiri. Saya berjanji tidak akan membuang sampah merata-rata dan akan mengingatkan rakan-rakan untuk menjaga kebersihan,” katanya.
Program berakhir dengan sesi bergambar bersama hasil karya murid yang dibawa pulang sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Hari Bumi disambut pada 22 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global terhadap isu perubahan iklim serta menggalakkan usaha melindungi ekosistem demi kesejahteraan generasi akan datang.



