HomeUtamaMaritim Malaysia gagalkan cubaan bom ikan di Semporna

Maritim Malaysia gagalkan cubaan bom ikan di Semporna

Read Time:1 Minute, 36 Second

SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan aktiviti pengeboman ikan selepas merampas 23 guni baja amonia dalam operasi khas di perairan Pulau Bum Bum, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu dikesan dalam satu operasi Khas Cegah Pati (OCP) Sektor Timur dan Ops Tiris 3.0 sebelum menemui sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.2 batu nautika utara pulau berkenaan.

Beliau berkata, suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke daratan berhampiran bagi mengelakkan ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 23 guni baja amonia dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 575 kilogram yang dipercayai untuk tujuan pengeboman ikan,” katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan rampasan itu membuktikan ketegasan Maritim Malaysia dalam memerangi jenayah berimpak tinggi terhadap ekosistem marin.

“Tangkapan ini membuktikan komitmen jitu kami dalam memerangi aktiviti pengeboman ikan tanpa kompromi. Penggunaan baja amonia sebagai bahan letupan bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah ia adalah ‘pembunuh’ kepada khazanah dasar laut kita.

“Jika kesemua 23 guni ini digunakan, impak kerosakan terhadap terumbu karang adalah amat dahsyat dan sukar untuk dipulihkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, operasi tersebut turut berkait rapat dengan usaha memelihara reputasi Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Sektor pelancongan adalah nadi ekonomi Semporna. Pelancong dari serata dunia datang untuk melihat keindahan biodiversiti kita.

“Dengan membanteras bom ikan, kita sebenarnya sedang melindungi kelangsungan ekonomi penduduk setempat, pengusaha selam skuba, dan memastikan perairan kita kekal selamat serta lestari untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Kesemua rampasan telah dibawa ke Jeti Kem Azumi, Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular