SANDAKAN — Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengadakan Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat Zon Sandakan yang menghimpunkan tujuh bahagian bagi memperkukuh kefahaman akar umbi mengenai hala tuju parti serta isu semasa berkaitan hak Sabah.
Program itu melibatkan bahagian Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Tanjung Papat dan Elopura.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata program jelajah tersebut menjadi platform kepada pimpinan Pemuda untuk menyampaikan perkembangan terkini parti termasuk cadangan penstrukturan semula dan pindaan perlembagaan parti, khususnya melibatkan struktur bahagian.
Menurut beliau, langkah penstrukturan itu penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen akan datang selain memastikan sistem penyampaian arahan serta komunikasi parti kepada akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Dalam sesi penerangan itu, beliau turut menjelaskan usaha kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam memperjuangkan hak Sabah termasuk isu pemberian khas Persekutuan 40 peratus.
Katanya, kerajaan negeri berjaya meningkatkan kadar interim pemberian khas Persekutuan kepada RM125.6 juta berbanding RM26.7 juta sebelum ini yang tidak pernah disemak sejak puluhan tahun lalu.
Beliau berkata kadar interim itu kemudian dinaikkan lagi kepada RM300 juta pada 2023 sebelum meningkat kepada RM600 juta pada 2025.
“Isu pemberian khas Persekutuan kini semakin mendapat perhatian selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan kerajaan Persekutuan menyelesaikan pembayaran 40 peratus kepada Sabah.
“Kerajaan negeri juga telah mengambil langkah signifikan dengan mendesak kerajaan Persekutuan membayar pemberian khas itu bagi tahun semasa melibatkan cukai yang tidak dipertikaikan seperti cukai kastam dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Menurut beliau, anggaran 40 peratus hasil cukai bagi tahun semasa melibatkan jumlah RM3.019 bilion.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menyeru pimpinan Pemuda di semua peringkat supaya bersama-sama kerajaan negeri memperjuangkan tuntutan pembayaran tersebut demi kepentingan pembangunan Sabah.
Katanya, dana berkenaan amat penting bagi memperkasa pembangunan infrastruktur rakyat serta menyelesaikan pelbagai masalah asas yang telah lama dihadapi rakyat negeri itu.
Beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat juga bersedia untuk terus menjadi tulang belakang parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen dan Pilihan Raya Negeri akan datang bagi memastikan perjuangan rakyat serta hak Sabah terus dipertahankan.



