SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini turun padang meninjau sendiri kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sambil menegaskan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan.
Dalam lawatan kerjanya, beliau singgah di pakej kerja WP25 bagi sesi tinjauan, pemantauan serta taklimat tapak ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).
Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; selain pembantupembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan.
Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau dimaklumkan status semasa projek WP25 yang melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek direkodkan sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.
Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan pakej berhampiran, WP24, yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek.
Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan-kawasan utama di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.



