BEAUFORT : Pengeluaran limau manis tempatan di daerah ini dilihat berpotensi besar untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import buah berkenaan, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada pekebun tempatan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, permintaan terhadap limau di Malaysia kekal tinggi saban tahun, namun pengeluaran domestik khususnya di Sabah masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan negara masih bergantung kepada import limau dari luar, termasuk dari China, walaupun kawasan tempatan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran.

“Jika kita lihat, Malaysia mengimport limau dalam jumlah yang sangat besar, sedangkan pengeluaran tempatan masih rendah.
“Ini menunjukkan terdapat ruang yang luas untuk pekebun tempatan meningkatkan pengeluaran sekali gus menembusi pasaran sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kebun limau di Kampung Batanduk Lubak dan Kampung Naparan Kepawa, di sini pada Rabu.
Lawatan tersebut melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Tanah dan Ukur serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi menilai potensi ekonomi tanaman berkenaan.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, antara kekangan utama yang dihadapi pekebun ketika ini adalah aspek pemasaran hasil, selain keperluan untuk memastikan kualiti buah memenuhi standard pasaran.
“Sebahagian pengusaha memaklumkan bahawa mereka berdepan kesukaran untuk memasarkan hasil walaupun tanaman menunjukkan pengeluaran yang baik.
“Namun, kita yakin isu pasaran dapat diatasi sekiranya kualiti buah, khususnya dari segi rasa manis dan konsistensi, dapat dipertingkatkan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Jabatan Pertanian akan memainkan peranan penting dalam membantu pekebun dari segi pemasaran melalui pelbagai inisiatif termasuk penyelarasan rantaian bekalan dan promosi produk tempatan.
Selain itu, katanya, bimbingan teknikal turut akan diperkasa bagi memastikan pengusaha mampu menghasilkan limau yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Dalam perkembangan sama, Ruslan berkata, usaha pekebun untuk mempelbagaikan hasil melalui penghasilan produk hiliran seperti jus limau juga membuka potensi ekonomi baharu yang lebih luas.
Katanya, produk berasaskan limau itu bukan sahaja mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian, malah berpotensi menembusi pasaran lebih besar sekiranya diberi sokongan dari segi pemprosesan, pembungkusan dan pensijilan.
“Kita melihat ini sebagai satu peluang ekonomi yang perlu digarap secara serius. Dengan bimbingan agensi seperti Jabatan Pertanian dan MARDI, produk ini boleh diperkasakan sehingga mampu bersaing di pasaran,” katanya.
Beliau optimis bahawa dengan pendekatan menyeluruh merangkumi peningkatan pengeluaran, pemantapan kualiti serta sokongan pemasaran, industri limau manis tempatan mampu berkembang sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi luar bandar di Beaufort dan negeri Sabah secara keseluruhan.



