KOTA KINABALU: Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama dalam mempercepatkan transformasi digital Sabah merangkumi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awam, industri maritim, keselamatan siber serta pembangunan ekonomi berasaskan inovasi.
Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata penggunaan AI bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan, malah berpotensi besar memperkukuh daya saing ekonomi negeri selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penerapan teknologi itu perlu diselaraskan dengan usaha memperkukuh ekosistem digital termasuk analisis data besar, automasi perkhidmatan kerajaan serta pengukuhan keselamatan siber.
“Dalam era pendigitalan masa kini, potensi ekonomi biru semakin signifikan dengan memberi fokus kepada pemanfaatan sumber laut secara mampan melalui teknologi digital, termasuk dalam sektor perikanan pintar, pelancongan marin serta pemantauan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Malaysia Digital Chamber of Commerce (MDCC) yang diketuai Pengerusi Emeritusnya, Dr Chris Daniel Wong bersama rombongan di pejabatnya, di sini pada Rabu.
Masidi menegaskan kerajaan negeri komited untuk terus menyokong transformasi digital dan pembangunan ekonomi biru sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Sabah, selain membuka ruang kerjasama strategik bersama pemain industri digital.
“Kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 untuk memastikan pembangunan yang lebih efisien dan berimpak tinggi,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperluas penggunaan AI dalam pelbagai sektor juga diyakini mampu meningkatkan produktiviti industri, khususnya dalam sektor maritim dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, MDCC memaklumkan bahawa Program Forum Ekonomi Digital Malaysia 2026 akan dianjurkan di Dewan ITCC pada 11 Ogos 2026, bermula jam 2 petang dengan tema “Blue Economy & Artificial Intelligence – Driving Sustainable Digital Growth”.



