Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Meskipun berdepan kesukaran untuk membaca dan melihat tulisan dengan lebih jelas, namun bagi pelajar berkeperluan khas, Alexzander Dinus,18, berjaya membuktikan kejayaan apabila meraih 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Anak sulung dari lima beradik itu mengalami masalah penglihatan akibat gangguan saraf pada bahagian mata dan mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang sesi pembelajaran di sekolah.
Menurutnya, kesukaran itu menyebabkan dia memerlukan bantuan guru dan rakan-rakan untuk membaca nota serta memahami isi pelajaran di dalam kelas.
“Kadang-kadang saya minta kawan baca atau cikgu tolong baca untuk saya kerana saya memang susah nampak.
“Saya nampak kabur dan kadang-kadang seperti nampak lebih daripada satu objek,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini pada Khamis.

Anak jati Kampung Kepakaan Biah Keningau itu berkata, sokongan guru menjadi faktor utama kejayaannya sehingga mampu memperoleh keputusan baik walaupun berdepan kekurangan diri.
“Guru-guru saya sangat prihatin. Walaupun saya lambat faham terutama dalam Matematik, mereka tetap ajar sampai saya faham. Disebabkan guru-guru yang baik dan kompeten, saya boleh berjaya sampai tahap ini,” katanya.
Selain bantuan guru, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis Xavier Keningau itu turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi bersuara bagi memudahkannya mengulang kaji pelajaran.
“Saya ada guna aplikasi AI seperti ChatGPT yang mempunyai fungsi suara kerana kalau membaca sendiri memang susah untuk saya.
“Memang banyak cabaran, tetapi teknologi itu membantu saya belajar dengan lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, dia tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk gagal, malah sentiasa berusaha bersaing bersama pelajar lain.
“Kita mungkin ada kekurangan, tetapi di situlah juga ada kekuatan kita. Jangan pernah menyerah walaupun ada kekurangan kerana itu boleh menjadi pembakar semangat untuk berjaya,” katanya. – SABAH MEDIA



