KOTA KINABALU: Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) disaran terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang idea, pandangan dan sokongan terhadap usaha pembangunan negeri.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, MDNS juga digalakkan melaksanakan lebih banyak aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan selain memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam program sosial, ekonomi dan pendidikan.
“MDNS juga perlu lebih banyak terlibat dalam program mendekati masyarakat supaya dapat terus menyantuni rakyat serta memahami keperluan komuniti di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MDNS yang diketuai Datuk Claudius Roman bersama rombongan di pejabatnya, di sini, hari ini.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kunjungan itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan MDNS dalam pelbagai aspek pembangunan.
Menurutnya, kerjasama erat itu penting bagi memastikan usaha pembangunan yang dilaksanakan dapat membawa manfaat dan kesejahteraan kepada masyarakat di Sabah.



