BEAUFORT: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk lebih aktif turun padang bagi membantu rakyat serta memahami keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Ruslan Muharam berkata, setiap JKKK perlu sentiasa peka terhadap isu semasa yang berlaku di kawasan masing-masing selain memainkan peranan sebagai penghubung utama antara rakyat dan kerajaan.
Beliau berkata, JKKK merupakan mata dan telinga kerajaan di peringkat kampung yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat tepat berkaitan keperluan rakyat kepada pihak berkaitan.
“JKKK perlu sentiasa turun padang dan mengambil tahu keadaan penduduk di kawasan masing-masing supaya setiap masalah dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani dengan segera.
“Kefungsian JKKK sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan perlu terus diperkasakan bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih berkesan dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat JKKK Tamalang Along di bilik mesyuarat Pejabat ADUN Lumadan, di sini, pada Jumaat.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kunjungan tersebut amat dihargai kerana ia menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kepimpinan kampung dan pejabat wakil rakyat.
Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara turut dibincangkan termasuk isu kebajikan rakyat, keperluan pembangunan kampung serta usaha mempertingkat kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau turut berharap hubungan baik antara JKKK dan pejabat ADUN dapat diteruskan demi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Kunjungan berkenaan mencerminkan komitmen JKKK Tamalang Along dalam memainkan peranan aktif membantu masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama dengan kepimpinan kawasan Lumadan.



