KOTA KINABALU: Seramai 21 warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu di sekitar daerah ini.
Dalam Ops Sapu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah itu, tiga premis diperiksa.
JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, sepanjang operasi, seramai 40 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua 21 warga asing itu terdiri daripada empat lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina, serta seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sabah dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menyeru kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.
Selain itu, JIM Sabah menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan.



