HomeUtamaPeniaga gagal pamer tanda harga, maklumat bengkel dikompaun

Peniaga gagal pamer tanda harga, maklumat bengkel dikompaun

Read Time:1 Minute, 39 Second

LABUAN: Dua peniaga dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan itu diambil susulan aduan pengguna menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh dua pasukan penguat kuasa di beberapa premis sekitar Labuan pada Sabtu.

“Tindakan kompaun pertama dikenakan ke atas pengusaha sebuah premis mini market di kawasan luar bandar Labuan selepas didapati gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk jualan.

“Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM250,000.

Bagi kompaun kedua, ia melibatkan sebuah premis bengkel kenderaan di kawasan luar bandar Labuan.

“Pemeriksaan mendapati pemilik perniagaan tersebut gagal mempamerkan maklumat bengkel sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000.

“KPDN Labuan ingin menegaskan bahawa semua peniaga hendaklah sentiasa mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk kewajipan mempamerkan tanda harga serta maklumat perkhidmatan dengan jelas dan tepat bagi melindungi hak pengguna serta memastikan amalan perdagangan yang telus dan beretika,” katanya.

KPDN Labuan juga akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang perdagangan dalam negeri.

“Orang ramai disaran untuk terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDN supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil dengan segera demi kepentingan pengguna dan komuniti setempat.”

RELATED ARTICLES
Utama

21 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular