RANAU: Perayaan Pesta Kaamatan terus menjadi simbol keutuhan perpaduan masyarakat di Sabah, selain berperanan sebagai platform penting memartabatkan khazanah budaya ke peringkat global.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan pada tahun ini yang bertemakan “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” sangat signifikan dengan konteks masyarakat majmuk di negeri tersebut.
Menurut beliau, semangat ‘Pisompuruan’ (perpaduan) dan ‘Piunungan’ (keharmonian) adalah kunci utama yang membolehkan rakyat Sabah terus hidup dalam suasana aman serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai hasil, tetapi ia merupakan simbol kesyukuran, perpaduan, serta keharmonian antara pelbagai kaum dan budaya. Keseimbangan ini membolehkan kita saling bekerjasama dan menyokong,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau Tahun 2026 di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai potensi daerah berkenaan, Masidi menjelaskan bahawa Ranau kini berada di kedudukan istimewa sebagai destinasi pelancongan utama menerusi pengiktirafan tapak UNESCO.
Katanya, keunikan semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti di kawasan taman dibawah pengiktirafan itu menjadikan ia sebuah destinasi eko-pelancongan yang sangat berpotensi tinggi.
“Ranau amat bertuah kerana memiliki keunikan yang diiktiraf dunia. Selain keindahan alam, kekayaan budaya masyarakat Kadazan Dusun di sini turut menjadi daya tarikan utama.
“Melalui sambutan Kaamatan, kita berpeluang memperkenalkan adat resam, makanan tradisional serta seni persembahan kepada pelawat dari dalam dan luar negara,” tambah beliau lagi.
Masidi turut optimis bahawa dengan usaha berterusan semua pihak, Ranau akanterus berkembang sebagai pusat pelancongan berasaskan budaya yang unggul, selaras dengan aspirasi pembangunan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang berjaya menyatukan komuniti dalam menjayakan sambutan tahun ini.



