KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Kadazan Dusun Cultural Association Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menyeru generasi muda Sabah yang menetap di Lembah Klang supaya terus memelihara bahasa, adat dan warisan budaya walaupun berada jauh dari kampung halaman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Koordinasi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 berkata, sambutan Kaamatan di Kuala Lumpur bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menghimpunkan komuniti perantau serta membuka ruang penglibatan lebih aktif dalam kalangan anak muda.
“Golongan muda perlu terus mengamalkan budaya dan adat yang diturunkan oleh nenek moyang. Bukan sekadar mengenali, tetapi menghayatinya dalam kehidupan seharian.
“Budaya itu bukan hanya soal pakaian atau perayaan, tetapi juga sikap yang baik, nilai yang baik serta semangat bekerjasama dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pada program sambutan Kaamatan di ibu negara.
Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak melupakan akar asal-usul mereka, termasuk kampung halaman, negeri dan identiti komuniti.
“Kalau kita sendiri tidak menghormati adat dan identiti kita, macam mana orang lain mahu menghormati kita,” katanya.
Jeffrey berkata, beliau berharap sambutan Kaamatan di Kuala Lumpur akan terus berkembang pada masa depan dengan penyertaan yang lebih meluas dan penglibatan lebih ramai masyarakat, khususnya generasi muda.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Warisan Malaysia Borneo Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, Totu Stevie Sebol berkata, sambutan Kaamatan edisi ke-31 tahun 2026 dimulakan dengan majlis perasmian yang menghimpunkan tetamu kehormat serta rakan strategik yang bersama menjayakan program tersebut.
Menurutnya, dua acara utama pada malam perasmian ialah pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi, dengan pemenang dipilih mewakili Klang Valley ke peringkat negeri Sabah.
Katanya, sambutan itu tidak berakhir pada malam perasmian, sebaliknya diteruskan selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan terbuka kepada orang ramai.
“Pada malam ini, tumpuan diberikan kepada inti pati Kaamatan itu sendiri, termasuk penghargaan kepada tetamu kehormat, rakan strategik serta penghayatan semangat Kaamatan,” katanya.
Mengulas cabaran memelihara budaya dalam kalangan generasi muda, Stevie berkata, budaya merupakan sesuatu yang hidup dan sentiasa berkembang mengikut perubahan zaman.
“Cara generasi dahulu menghayati budaya tidak sama dengan generasi hari ini, tetapi niat dan penghargaan terhadap budaya itu tetap sama.
“Teknologi hari ini memberi ruang baharu kepada anak muda untuk menzahirkan kecintaan mereka terhadap budaya dan warisan,” katanya.
Beliau berkata, cabaran utama ketika ini bukanlah ancaman besar, sebaliknya bagaimana menyesuaikan pendekatan budaya dengan perubahan semasa.
Menurutnya, generasi muda hari ini juga lebih kritis dan kreatif dalam menampilkan idea-idea baharu, termasuk perkara yang suatu ketika dahulu dianggap janggal tetapi kini semakin diterima.
“Saya yakin generasi muda hari ini mampu meneruskan warisan budaya ini pada masa hadapan,” katanya.



