Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun khususnya di negeri ini berupaya menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan serta ekonomi bandaraya Kota Kinabalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sambutan tahunan itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh identiti budaya negeri di samping menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar ke ibu negeri Sabah.
“Sambutan seperti ini amat penting bagi Bandaraya Kota Kinabalu kerana ia memperkukuh warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat, serta menyumbang kepada kemeriahan pelancongan dan ekonomi bandaraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Ahad.
Majlis itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sabin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan sambutan itu.
Beliau turut berharap penganjuran program seumpama itu dapat terus memperkukuhkan perpaduan rakyat selain mempromosikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik di Sabah. – SABAH MEDIA



