SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna telah menerima satu kes serahan daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak menerusi Ops Tiris Bersepadu.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan berkata kes tersebut melibatkan seorang lelaki pemastautin tetap bersama barang rampasan yang ditemukan di kawasan perumahan atas air Kuala Bibang, Semporna.
“Lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan atau memiliki barang kawalan tersebut.
“Antara barang rampasan yang disita ialah minyak petrol bercampur 2T sebanyak 140 liter, minyak petrol sebanyak 80 liter, sebuah boat kayu berwarna biru serta dua unit enjin sangkut jenama Yamaha Enduro 40HP. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,884.40,” menurut kenyataan itu, kelmarin.
Sehubungan itu, KPDN Semporna telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tujuan siasatan lanjut.
KPDN akan terus berusaha meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam membasmi aktiviti penyelewengan barang kawalan.
KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.



