Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Gambia antara 21 individu yang dihadapkan ke mahkamah serta dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan imigresen.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Warga Gambia Louis Chaw, 36, didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda kerana tinggal di negeri ini selepas Pas Khas miliknya tamat tempoh pada 31 Julai 2025.
Louis telah tinggal lebih masa selama lapan bulan 23 hari.
Dia ditahan pada 23 April lalu kira-kira jam 10.45 pagi di kaunter hadapan Unit Rujukan dan Kompaun, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh lain, seorang warga Pakistan dan tiga warga Indonesia masing-masing dipenjara antara enam hingga 12 bulan kerana tinggal di negeri ini selepas dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.
Seorang lagi pesalah dipenjara enam bulan dan dikenakan satu sebatan kerana melanggar syarat dokumen miliknya.
Manakala selebihnya dipenjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di Ranau, Sipitang, Kudat dan bandar raya ini dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen baru-baru ini.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh termasuk Louis dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang warga Jerman yang didakwa atas kesalahan memasuki negeri ini secara tidak sah akan disebut semula pada 8 Jun depan bagi mendapatkan jurubahasa bahasa Jerman.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh direman lanjut sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.



