LABUAN : Sebuah bengkel kenderaan di sini dikenakan kompauan selepas didapati gagal memberikan suatu kenyataan bertulis kepada pengguna sebelum apa-apa perkhidmatan pembaikan dijalankan .
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan aduan pengguna menerusi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan penguat kuasa di bengkel berkenaan pada Isnin.
Beliau berkata, bengkel berkenaan gagal memberi kenyataan bertulis sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].
“Peraturan tersebut mewajibkan pengusaha bengkel memberikan maklumat secara bertulis kepada pengguna antaranya berkaitan anggaran kos pembaikan, alat ganti yang digunakan, caj perkhidmatan serta bentuk kerja pembaikan yang akan dijalankan sebelum sebarang kerja pembaikan dibuat.
“Kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menjejaskan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan membuat keputusan secara tepat sebelum bersetuju menerima perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Susulan itu, Junaidah berkata, tindakan kompaun telah diambil terhadap pengusaha bengkel berkenaan atas kesalahan yang dilakukan di bawah peruntukan perundangan berkaitan.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000.
“KPDN WP Labuan ingin mengingatkan semua pengusaha bengkel supaya sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 termasuk kewajipan memberikan kenyataan bertulis kepada pengguna sebelum kerja pembaikan dijalankan.
“Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan dalam urusan perkhidmatan, mengelakkan pertikaian berkaitan caj atau skop pembaikan serta melindungi hak dan kepentingan pengguna,” katanya.
Menurutnya lagi, KPDN WP Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai juga disaran untuk terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera demi kepentingan pengguna dan komuniti setempat,” katanya.



