HomeUtamaImpian lebih dua dekad pasangan guru tunai haji bersama seluruh keluarga...

Impian lebih dua dekad pasangan guru tunai haji bersama seluruh keluarga tercapai

Read Time:2 Minute, 35 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

TAMPARULI: Hasrat sepasang suami isteri untuk menunaikan ibadah haji bersama seluruh ahli keluarga akhirnya menjadi kenyataan selepas lebih dua dekad menabung secara konsisten melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Pasangan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Wasili Idang,57, dan isterinya Jumainah Jaafar,55, bakal ke Tanah Suci bersama enam orang anak serta seorang menantu mereka, sekali gus merealisasikan impian yang disimpan sejak 1998.

Wasili berkata, dia bersama isteri mula membuka akaun simpanan TH pada 1998 untuk mereka dan diikuti setiap anak sebaik sahaja mereka dilahirkan.

Wasili

“Kami mula menabung sejak anak pertama lahir pada tahun 1998. Apabila anak kedua lahir pada tahun 2000, kami buka akaun untuknya dan begitu juga untuk setiap anak yang seterusnya.

“Setiap bulan kami membuat potongan gaji secara berjadual. Selain itu, duit raya yang diterima anak-anak daripada saudara-mara turut disimpan ke dalam akaun Tabung Haji masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada majlis mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah haji Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Jumainah

Majlis pelepasan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Wasili berkata, hasrat untuk menunaikan haji bersama seluruh keluarga semakin kukuh selepas pihak TH mengadakan pameran di sekolah beliau bertugas sekitar tahun 2009.

Beliau berkata, pada ketika itu, pihak TH mendapati beberapa akaun anak mereka telah melebihi jumlah minimum simpanan dan mencadangkan agar keluarga tersebut segera mendaftar untuk haji.

“Sebelum itu kami sangka apabila menabung, pendaftaran haji berlaku secara automatik. Rupanya menabung dan pendaftaran haji adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Pasangan itu kemudian mendaftar pada Oktober 2009.

Sementara itu, Wasili berkata, sebaik menerima tawaran haji, hanya lima ahli keluarga menerima tawaran menunaikan haji bagi musim tahun ini. 

Namun, beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk membuat rayuan kepada TH agar tiga lagi anak mereka turut dipertimbangkan.

“Alhamdulillah, rayuan kami diluluskan. Kebetulan simpanan mereka juga telah mencukupi, sekali gus memudahkan urusan,” katanya.

Beliau berkata peluang menunaikan rukun Islam kelima bersama isteri dan anak-anak merupakan nikmat yang amat besar dan disyukuri.

“Sudah tentu kami sangat bersyukur. Peluang untuk menunaikan haji bersama-sama seluruh keluarga adalah satu rezeki yang tidak ternilai,” katanya.

Enam anak pasangan itu terdiri daripada mereka yang telah bekerja, seorang guru, pelajar universit, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan seorang lagi yang sedang menuntut di Maahad Tahfiz di Negeri Pahang.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mula menabung seawal mungkin dan melakukannya secara konsisten.

“Berdasarkan pengalaman kami, menabung secara konsisten amat penting. Mudah-mudahan apabila tiba rezeki, kita berpeluang menunaikan haji,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tabung Haji, Yayasan Sabah serta institusi pendidikan anak-anak mereka yang membantu melancarkan persiapan ibadah tersebut.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang mempermudahkan urusan kami sekeluarga untuk menunaikan haji bersama,” katanya.

Selain Wasili dan isterinya, enam lagi anaknya Anis Maisara 28,Aina Mardhiah,26, Alya Maizah,24,Alysa Marina,20,Amira Mastura,18 dan Muhamad Azmel,16 serta suami kepada Anis iaitu Muhammad Aslam Jubair,30. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

21 warga asing dipenjara, didenda atas pelbagai kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular