KOTA KINABALU: Sekumpulan 11 gajah yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah kolam air terbiar di Kinabatangan dipercayai memasuki kawasan itu sendiri untuk menyejukkan badan susulan keadaan cuaca panas ketika ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, kemungkinan itu tidak dapat diketepikan memandangkan gajah sememangnya diketahui mencari sumber air untuk menurunkan suhu badan melalui aktiviti berkubang dan mandi.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada semua gajah terbabit memasuki kolam itu sendiri atau terjatuh secara tidak sengaja.
“Insiden ini menjadi peringatan penting bahawa kolam terbiar, parit dan struktur berbahaya lain yang terletak berhampiran laluan pergerakan hidupan liar terus menimbulkan risiko kepada hidupan liar Sabah, khususnya gajah pygmy Borneo, salah satu spesies paling ikonik dan dilindungi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar Sabah berjaya menyelamatkan sekumpulan 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah yang terperangkap dalam sebuah kolam berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan.
Jafry berkata, tindakan pantas segera diambil oleh jabatan itu bersama pihak pengurusan ladang dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan semua gajah keluar dengan selamat.
“Saya lega kerana semua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah juga telah mengarahkan pengusaha ladang supaya memastikan struktur kolam seumpama itu tidak dibangunkan tanpa langkah mitigasi yang sewajarnya.
“Sekiranya pembinaan kolam diperlukan, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing hendaklah dibina dengan cerun landai dan bukannya dinding tegak bagi membolehkan hidupan liar keluar dengan selamat sekiranya insiden seperti ini berlaku,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang serta semua pihak yang terlibat atas tindakan cepat dan profesional dalam menangani situasi ini.
Menurutnya lagi Jabatan Hidupan Liar Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan pengusaha ladang, komuniti setempat dan rakan pemuliharaan bagi memperkukuh langkah perlindungan hidupan liar, meningkatkan keupayaan tindak balas pantas serta memastikan aktiviti pembangunan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
“Melindungi biodiversiti Sabah merupakan tanggungjawab bersama. Kejayaan operasi menyelamat ini membuktikan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen kolektif bagi memastikan spesies terancam ini terus hidup dan berkembang untuk generasi akan datang,” katanya



