Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: “Menabunglah seawal mungkin kerana menunggu giliran untuk menunaikan haji bukanlah dalam tempoh yang singkat,” kata Jasinah @Rosnah Abdul Rahman,72.
Bakal jemaah haji dari Kampung Raganan, Tuaran itu akan menunaikan Rukun Islam kelima bersama suaminya Amin @ Ahman Lausa @ Soley,75, selepas menunggu selama 16 tahun.
Jasinah berkata, kesabaran dan disiplin dalam menabung amat penting bagi memastikan impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci dapat direalisasikan.
Menurutnya, beliau mula mendaftar dengan Tabung Haji (TH) pada penghujung tahun 2010 selepas berjaya mengumpul simpanan yang mencukupi untuk memenuhi syarat pendaftaran.

“Saya menabung sedikit demi sedikit sehingga cukup jumlah yang diperlukan, kemudian terus membuka akaun dan mendaftar haji.
“Alhamdulillah, selepas 16 tahun menunggu, saya akhirnya menerima tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini bersama suami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meneruskan perjalanan ke Jeddah pada 12.25 pagi pada Khamis.
Jasinah bersama suaminya merupakan antara 142 jemaah haji Sabah yang berlepas menggunakan penerbangan KT84 pada Rabu.
Bekas pengusaha kantin sekolah itu berkata, simpanan haji dibuat hasil daripada pendapatan perniagaan yang turut digunakan untuk membiayai persekolahan lima orang anaknya sebelum ini.
Katanya, walaupun suaminya hanya bekerja tidak tetap ketika itu, mereka tetap berusaha menyimpan sedikit demi sedikit demi merealisasikan impian menunaikan ibadah haji bersama.
“Kalau ada lebihan, kami simpan. Yang penting istiqamah dan jangan putus asa,” katanya.
Beliau yang kini mempunyai 13 cucu dan empat cicit mengakui sangat terharu apabila menerima tawaran daripada TH pada penghujung November tahun lalu.
“Saya sujud syukur apabila mendapat berita itu. Setiap kali selepas solat, saya sentiasa berdoa agar diberikan peluang menjadi tetamu Allah,” katanya.
Beliau turut memuji perkhidmatan TH yang disifatkannya sangat memuaskan, khususnya dalam memberi maklumat dan panduan secara berterusan kepada bakal jemaah.
Katanya, petugas TH juga sering mengingatkannya agar menjaga kesihatan memandangkan faktor usia.
Susulan itu, beliau turut mengamalkan rutin berjalan kaki dan bersenam lima kali seminggu sebagai persediaan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci. – SABAH MEDIA



