HomeUtamaWira Transplant Malaysia tawan Gunung Kinabalu, bawa mesej kesedaran derma organ

Wira Transplant Malaysia tawan Gunung Kinabalu, bawa mesej kesedaran derma organ

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan pendakian Gunung Kinabalu oleh Wira Transplant Malaysia sebagai simbol keberanian, harapan dan ketabahan dalam memperjuangkan kesedaran mengenai pendermaan organ serta transplantasi di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, program tersebut bukan sekadar cabaran fizikal, sebaliknya membawa mesej penting kepada masyarakat mengenai peluang kedua kehidupan melalui transplantasi organ.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan dapat terus meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan pendermaan organ.

Masidi menyempurnakan majlis pelepasan Program 2026 Mount Kinabalu Expedition on Organ Transplant Awareness anjuran Wira Transplant Malaysia (WTM) yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Program tersebut diwakili oleh Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd. Ishak Ayub.

Sementara itu, Mohd. Ishak berkata ketika ini kira-kira 51,000 rakyat Malaysia sedang menjalani rawatan dialisis, dengan purata peningkatan sekitar 27 pesakit baharu setiap hari.

“Penyakit buah pinggang dan rawatan dialisis jangka panjang bukan sahaja memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan, malah turut menjejaskan produktiviti, sumber pendapatan keluarga dan kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ serta memperkukuh sistem transplantasi negara.

Beliau turut menyifatkan pendakian tersebut sebagai simbol perjuangan dan harapan buat pesakit transplantasi serta keluarga mereka, selain menjadi platform penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Program itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Persatuan Transplantasi Malaysia dan Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia melalui pembiayaan orang ramai.

“Ia mencerminkan semangat komuniti apabila rakyat Malaysia bersatu demi satu tujuan yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Setiap langkah para pendaki membawa mesej bahawa harapan tidak harus dipadamkan dan kehidupan sentiasa berbaloi untuk diperjuangkan,” katanya.

Pendakian kali ini merupakan edisi ketiga anjuran WTM selepas kejayaan program sama pada tahun 2022 dan 2024, sekali gus membuktikan sokongan masyarakat terhadap usaha tersebut semakin meningkat.

Turut hadir Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia, Dr. Zaimi Wahab; Pengerusi Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia, Datuk Zainie Abdul Aucasa; dan Presiden Wira Transplant Malaysia, Manvir Victor.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Tiris 4.0 : KPDN Semporna tahan lelaki, rampas diesel dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular