SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki 150 liter minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah ini.
Rampasan itu merupakan sebahagian daripada tindakan di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Semporna oleh Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pada 13 Mei lalu.
Menurut KPDN Sabah, pihak PGA menahan suspek bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam dan enam jeriken yang mengandungi 150 liter minyak diesel.
Pemeriksaan mendapati individu terbabit gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan tersebut.
Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak RM322.50, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berkenaan dianggarkan bernilai RM50,822.50.
Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, KPDN cawangan Semporna turut merampas 425 kilogram minyak masak paket bersama sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran dalam satu operasi penguatkuasaan di kawasan perairan Pulau Larapan, di sini.
Rampasan itu juta merupakan hasil serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada KPDN pada 13 Mei lalu di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
Menurut KPDN, kes tersebut melibatkan rampasan tanpa tuan selepas pasukan penguat kuasa menemui sejumlah minyak masak paket yang dipercayai cuba diseleweng untuk tujuan tertentu.
Turut disita ialah sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran, sebuah enjin 18 kuasa kuda jenama Pro Quip serta satu unit shaft propeller.
Nilai rampasan minyak masak paket dianggarkan sebanyak RM1,062.50, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM2,165.50.
Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
KPDN menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di kawasan darat dan perairan Semporna bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi digalakkan menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian bebas tol 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN.



