KOTA KINABALU : Hospital Queen Elizabeth (HQE) terus komited memperkukuhkan usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti.
Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr. Abd. Kahar Abd. Asis berkata, pelbagai inisiatif penambahbaikan operasi telah dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk memperkemas pengurusan kemasukan pesakit dan memperkukuhkan koordinasi antara pasukan kesihatan di hospital berkenaan.
Beliau berkata, usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih teratur, lancar dan responsif selaras dengan keperluan semasa.

“Setiap anggota memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan yang terbaik.
“Melalui semangat kerja berpasukan, komunikasi yang baik serta komitmen seluruh warga hospital, kita akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital Queen Elizabeth 2026 yang berlangsung di Auditorium Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kejururawatan atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memberikan penjagaan serta perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Katanya, profesion kejururawatan merupakan antara tunjang utama dalam sistem kesihatan dan sentiasa memainkan peranan besar dalam memastikan kebajikan serta keselamatan pesakit sentiasa terpelihara.
Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 tahun ini membawa tema “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives” sebagai penghargaan terhadap peranan dan sumbangan profesion kejururawatan dalam sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Pengarah Klinikal I, Dr. Marcus Netto, Timbalan Pengarah Pengurusan, Jackson Taguah, Timbalan Pengarah Klinikal II, Dr. Irene Chau serta barisan ketua jabatan dan unit HQE.
Terdahulu, pelbagai program sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 peringkat Hospital Queen Elizabeth telah dilaksanakan antaranya Program Pemeriksaan Pap Smear pada 9 Mei lalu serta Program Kempen Derma Darah Kasih HQE 2026 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada agensi kerajaan dan masyarakat awam.



