HomeUtamaWanita Sabah diseru terajui ekonomi tempatan

Wanita Sabah diseru terajui ekonomi tempatan

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Wanita di Sabah diseru supaya tampil lebih berani menerajui bidang keusahawanan sekali gus menjadi penggerak utama ekonomi tempatan selaras aspirasi “Usahawan Wanita Sabah Menerajui Masa Depan Barangan Malaysia.”

Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, wanita Sabah kini semakin menyerlah dalam pelbagai sektor perniagaan dan membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin ekonomi yang berdaya saing.

“Kalau dahulu wanita hanya dilihat sebagai penyokong di belakang tabir, hari ini wanita Sabah berada di barisan hadapan sebagai pemilik perniagaan, pengusaha produk tempatan dan pencipta peluang pekerjaan.

“Ada yang bermula dari dapur rumah, berniaga kecil-kecilan di tamu serta menjual melalui media sosial hanya menggunakan telefon bimbit, namun dengan kesungguhan dan keberanian, mereka berjaya mengembangkan perniagaan sehingga dikenali ramai,” katanya.

Redonah berkata demikian ketika merasmikan Program Mini Inspirasi Kempen Belilah Barangan Malaysia yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada wanita, golongan profesional, beliawanis serta usahawan wanita dari seluruh Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita mempunyai kekuatan luar biasa dalam menghadapi cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup demi membantu keluarga serta memperbaiki kehidupan.

Katanya, kejayaan seorang usahawan wanita sering hadir bersama pengorbanan besar yang tidak selalu dilihat masyarakat, termasuk bekerja seawal pagi, berjaga malam menyiapkan tempahan pelanggan serta melalui pelbagai kegagalan sebelum mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat supaya terus menyokong produk tempatan khususnya hasil usahawan wanita Sabah yang semakin kreatif, moden dan berkualiti.

“Apabila kita membeli produk tempatan, kita sebenarnya membantu rakyat kita sendiri.

“Kita membantu usahawan kecil berkembang, membantu ibu tunggal menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan kepada anak muda dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata Kempen Belilah Barangan Malaysia menjadi platform penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan di samping membuka ruang kepada usahawan untuk memperluaskan jaringan serta pasaran produk mereka.

Pada masa sama, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada wanita menambah ilmu, membina keyakinan diri dan meneroka peluang perniagaan baharu.

“Wanita Sabah bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mampu memimpin dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk negeri dan negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, agensi kerajaan, pihak swasta, rakan strategik serta para usahawan yang menjayakan program tersebut.

Beliau berharap kerjasama berterusan semua pihak dapat memperkukuh pembangunan komuniti serta memperkasa lebih ramai wanita Sabah dalam bidang keusahawanan.

RELATED ARTICLES
News-EnglishPendapatUtama

Putrajaya To Evade the 40% “Lost Years” Payout!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular