HomeUtamaPertandingan akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2026 Sabtu depan

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2026 Sabtu depan

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada 23 Mei ini dengan pembaharuan utama apabila acara kemuncak itu diadakan pada sebelah petang bermula jam 2 petang.

Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Evaristus Gungkit berkata, perubahan waktu itu dibuat bagi memastikan pertandingan dapat berlangsung dalam suasana lebih selesa untuk peserta, juri dan penonton.

“Jika pertandingan bermula pada jam 7 malam, kadangkala ia berakhir sehingga lewat tengah malam. Peserta dan penonton akan keletihan.

“Tahun ini kita cuba mulakan lebih awal supaya pertandingan dapat diselesaikan sekitar jam 6 atau 7 petang,” katanya selepas sesi temu bual di konti Sabah FM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 akan bermula pada 16 Mei dengan sesi pendaftaran dari jam 8 pagi hingga 5 petang sebelum diteruskan dengan pusingan saringan dan separuh akhir.

Setakat ini, seramai 52 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berprestij yang menjadi antara acara utama sambutan Pesta Kaamatan negeri.

Evaristus berkata, satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini ialah perluasan had umur peserta bagi kategori terbuka.

Katanya, langkah itu bertujuan memberi peluang lebih inklusif kepada bakat muda seawal usia 13 tahun untuk bertanding di peringkat negeri, di samping mengekalkan penyertaan peserta dewasa yang berpengalaman dalam bidang nyanyian.

“Pendekatan ini akan mewujudkan persaingan sihat antara generasi muda dan peserta berpengalaman, sekali gus meningkatkan standard pertandingan.

“Kita mahu Sugandoi terus relevan dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan nilai budaya asal,” katanya.

Beliau berharap edisi tahun ini akan menampilkan persembahan berkualiti tinggi dan menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni baharu yang berpotensi mengharumkan nama Sabah pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita Sabah diseru terajui ekonomi tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular