HomeUtamaWarga emas berisiko demensia jika gangguan pendengaran diabaikan – Pengarah HQE

Warga emas berisiko demensia jika gangguan pendengaran diabaikan – Pengarah HQE

Read Time:2 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : Masalah pendengaran dan kecelaruan komunikasi dalam kalangan warga emas tidak boleh lagi dianggap sebagai proses penuaan biasa kerana ia berisiko mempercepatkan kemerosotan kognitif serta meningkatkan risiko demensia sekiranya tidak ditangani lebih awal.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Datuk Dr. Abd Kahar Bin Abd Asis berkata,  Malaysia kini sedang bergerak ke arah negara menua apabila lebih 15 peratus penduduk dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap penjagaan geriatrik dan kesihatan komunikasi warga emas.

Beliau berkata, gangguan pendengaran dalam kalangan warga emas bukan sahaja menjejaskan komunikasi harian, malah boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental, emosi dan kualiti hidup mereka.

“Kajian menunjukkan risiko demensia meningkat dua kali ganda dalam kalangan warga emas yang mengalami masalah pendengaran ringan tanpa intervensi awal, dan boleh meningkat sehingga lima kali ganda apabila masalah pendengaran menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Better Hearing and Speech Month (BHSM) 2026 peringkat HQE yang bertemakan “Program Pemerkasaan Penjagaan Geriatrik dalam Menguruskan Kecelaruan Komunikasi”, di Auditorium HQE di sini.

Tambah beliau, penjagaan warga emas yang mengalami demensia memerlukan kekuatan mental dan sokongan berterusan bukan sahaja daripada pesakit sendiri, malah ahli keluarga dan penjaga yang berhadapan secara langsung setiap hari.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pengesanan awal dan intervensi segera bagi membantu meningkatkan komunikasi dua hala serta memperbaiki kualiti hidup warga emas sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Dalam pada itu, Dr. Abd Kahar turut memuji pendekatan digital dan penggunaan teknologi pintar dalam membantu golongan warga emas mendapatkan akses kepada terapi dan rawatan dengan lebih mudah.

“Hari ini ramai warga emas semakin celik teknologi dan mahir menggunakan peranti pintar. Pendekatan terapi secara dalam talian amat relevan terutama bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan fizikal untuk hadir ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif digital mampu menjadi langkah permulaan dalam memudahkan urusan warga emas mendapatkan rawatan dan intervensi secara lebih cepat tanpa terlalu bergantung kepada kehadiran fizikal di hospital.

Menurut beliau lagi, data menunjukkan insiden afasia atau kecelaruan percakapan di Malaysia adalah sekitar 16.7 peratus, manakala hampir 42 peratus pesakit strok yang dirujuk untuk terapi pertuturan terdiri daripada warga emas.

Di Sabah pula, katanya, cabaran menjadi lebih besar apabila jumlah Terapis Pertuturan-Bahasa dan Penelanan masih terhad berbanding populasi negeri yang kini menghampiri 3.8 juta penduduk.

“Kita mungkin belum mampu menampung keseluruhan keperluan pesakit, namun usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diteruskan kerana sokongan ahli keluarga, penjaga dan komuniti amat penting dalam membantu warga emas menghadapi cabaran komunikasi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Audiologi dan Unit Terapi Pertuturan Bahasa Hospital Queen Elizabeth atas komitmen berterusan dalam melaksanakan program kesedaran dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Dr. Abd Kahar turut berkongsi lima mesej utama program tersebut termasuk kepentingan mengenali tanda amaran gangguan komunikasi, pengesanan awal, penggunaan teknologi pendengaran yang sesuai serta kepentingan intervensi awal bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan komunikasi dan kesejahteraan warga emas yang semakin meningkat di negara ini.

Seramai lebih 150 peserta terdiri daripada pegawai dan profesional kesihatan HQE, Hospital Duchess of Kent, Sandakan (HDOK) , Hospital Tawau, Hospital Labuan, Kolej MAHSA, Pusat Penjagaan Warga Emas Swasta dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah hadir dalam program sehari tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2026 Sabtu depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular