KOTA KINABALU: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi golongan warga emas daripada komplikasi kesihatan.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Telipok, Dr. Nur Farahin Mohd Din berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan influenza yang boleh membawa kepada komplikasi serius, khususnya melibatkan paru-paru.
Beliau berkata, kos suntikan vaksin influenza di klinik swasta boleh mencecah sehingga RM90, namun kerajaan menyediakan perkhidmatan tersebut secara percuma kepada golongan yang layak.
“Usaha ini penting supaya warga emas, terutama di kawasan kampung, tidak tercicir daripada mendapatkan perlindungan kesihatan.
“Kita membawa bekalan vaksin yang terhad, namun sasaran kita adalah untuk memberikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 50 penerima menjelang petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI yang berlangsung pada Sabtu.
Dr. Nur Farahin berkata, pemberian vaksin influenza itu turut ditawarkan di pejabat kesihatan di seluruh negara.
Selain vaksinasi, program berkenaan turut menyediakan pelbagai pemeriksaan kesihatan percuma termasuk indeks jisim badan (BMI), tekanan darah dan paras gula dalam darah.
“Sekiranya terdapat bacaan yang membimbangkan, kita akan mengeluarkan surat rujukan bagi pemeriksaan lanjut, termasuk ujian gula puasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan turun padang ke kawasan kampung amat penting memandangkan masih ramai penduduk yang kurang mengetahui tentang kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kadang-kadang walaupun promosi dilakukan di klinik, masih ada penduduk kampung yang tidak mengetahui mengenai kemudahan ini.
“Melalui program komuniti seperti ini, kita dapat mendekati mereka secara langsung dan memastikan perkhidmatan kesihatan sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima vaksin, Steven Bedo, 60, berkata program tersebut amat membantu penduduk kampung, khususnya mereka yang menghadapi masalah pengangkutan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.
“Selalunya saya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kiulu. Kadang-kadang saya terpaksa menumpang dan membayar RM5 untuk sekali perjalanan.
“Kalau pergi dan balik, jumlahnya sudah RM10. Jadi apabila petugas kesihatan datang sendiri ke kampung, ia memang sangat membantu,” katanya.



