KOTA KINABALU: Peranan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat dalam memastikan setiap dasar serta program pembangunan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kakitangan yang dilantik diingatkan agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“Kakitangan yang dilantik perlu memastikan segala dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan sesi penyerahan watikah jawatan UPPM Karanaan Ranau, di pejabatnya.
Antara pelantikan yang disampaikan ialah Pemimpin Kemajuan Masyarakat (CDO) Mohd Syukri Saridih, Penyelia Kemajuan Masyarakat Georgie Tham Soon Kong. Manakala jawatan Pemaju Mukim disandang oleh Mohd. Radzi Shah Junaidi, Adlyzan Jasirin, Jardern J. Saliun, Jorius Aban, Jasni Harun dan Rudolf Bidi.
Bagi Pemaju Masyarakat dijawat oleh Sitimeh Jimin, Nurul Syakirah Shahira dan Mohd Amirul Junaidi.
Turut hadir pada majlis penyampaian itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Suhaimi Manjun.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu, turut menasihatkan semua kakitangan agar mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam melaksanakan tugas demi memastikan pembangunan di kawasan daerah khusunya kawasan DUN berkenaan dapat terus diperkasakan.
Oleh itu, beliau mengingatkan kepada kakitangan UPPM agar sentiasa menepati masa dan melaksanakan tugas dengan penuh disiplin bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kerja sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
“Kerajaan negeri sentiasa komited meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan menyeru semua pihak agar memainkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.



