LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya merampas minyak diesel yang disimpan tanpa kebenaran dianggarkan sebanyak 2,870 liter dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di sekitar Kampung Tanjung Aru, Labuan, di sini pada Khamis.
Serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Wilayah Persekutuan Labuan itu dilaksanakan hasil maklumat risikan yang disalurkan oleh Unit Risik KPDN WP Labuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Keberhasilan dengan bantuan anggota dari Balai Polis Lubuk Temiang.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan lanjut berjaya menemukan tiga unit tangki jenis ‘Intermediate Bulk Container’ (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menemui tiga unit pam elektrik lengkap bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan barang kawalan terbabit.
Menurutnya, jumlah keseluruhan minyak diesel yang ditemui di lokasi dianggarkan sebanyak 2,870 liter.
“Semasa operasi dijalankan, tiada individu ditemui berada di lokasi kejadian dan premis tersebut disyaki hanya dijadikan lokasi persinggahan serta penyimpanan sementara minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain.
“Kesemua barang kes termasuk minyak diesel disyaki barang kawalan tersebut telah disita untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM106,570.50,” katanya.

Sementara itu, Junaidah berkata, kes disiasat kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran yang sah.
” Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
” Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” katanya.
Menurutnya, KPDN WP Labuan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk penyimpanan, pemindahan dan penjualan tanpa kebenaran yang sah.
Tambahnya, KPDN akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap barang kawalan bersubsidi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.



