KUDAT: Hampir 50 belia menyertai Program Konvoi Bermotor bersama Skuad Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat, malam tadi.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh bagi menyampaikan kempen Pesanan Antidadah (PESADA) kepada masyarakat.
Ruslin berkata, aktiviti itu adalah sebahagian daripada pengisian Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang bertujuan memperkasakan mesej pencegahan dadah secara santai di samping mendekati komuniti setempat secara bersemuka.
“Program komuniti seperti ini merupakan salah satu pendekatan proaktif bagi menarik minat golongan muda agar menjauhi gejala negatif, terutama penyalahgunaan dadah.
“Kami mahu menunjukkan bahawa aktiviti permotoran boleh diisi dengan pengisian sihat, bermanfaat dan mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.
Sepanjang konvoi berlangsung, peserta turut singgah di beberapa lokasi tumpuan awam bagi mengedarkan risalah berkaitan bahaya dadah serta maklumat mengenai kempen PESADA.
Menurutnya, penyertaan hampir 50 belia termasuk ahli Skuad Antidadah dari daerah itu membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran selamat selaras misi Dadah Terkawal 2030.
“Program ini berjaya dilaksanakan dan dijangka diteruskan ke daerah lain bagi memperluaskan lagi jaringan Skuad Antidadah,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan dan Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung.



