HomeUtamaMCMC perkukuh kerjasama rentas agensi tangani scam dalam talian

MCMC perkukuh kerjasama rentas agensi tangani scam dalam talian

Read Time:1 Minute, 35 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi penganjuran Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan pemain industri digital negara.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam memperkemas tindakan bersepadu bagi menangani ancaman scam yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan program berkenaan di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre (CCEC), di sini, pada Ahad.

Permukiman selama tiga hari bermula 22 Mei itu dianjurkan MCMC dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), syarikat telekomunikasi, institusi kewangan, penyedia platform digital serta badan kawal selia dan pemain industri berkaitan.

Sepanjang program itu, pelbagai isu dibincangkan termasuk trend serta modus operandi scam semasa, cabaran penguatkuasaan dan perundangan, penggunaan analitik data selain usaha memperkukuh kesedaran awam secara berterusan.

Fokus turut diberikan kepada pengukuhan kerjasama antara agensi dan industri dalam menangani penyalahgunaan saluran komunikasi serta platform digital seperti panggilan dan SMS penipuan, pautan memudaratkan, penyalahgunaan nombor telefon, akaun bank keldai, penipuan pelaburan dan tawaran pinjaman tidak wujud.

Dalam majlis sama, Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC yang diwakili Pengarah Urusannya, Abdul Karim Fakir Ali dengan Global Anti-Scam Alliance (GASA) yang diwakili Penasihat Asia Tenggara, Rajeshpal Singh Sandhu.

MoU berkenaan bertujuan memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian menerusi perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, pembangunan kapasiti, advokasi serta pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman scam digital.

Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman penipuan dalam talian selain menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar dijangka rasmi Sambutan Pesta Kaamatan Sabah 2026 Sabtu ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular