Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sabah memilih pendekatan pertumbuhan seimbang bagi memastikan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara adil serta mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menolak pendekatan pembangunan melulu yang merosakkan alam sekitar, selain tidak bersetuju dengan idealisme alam sekitar yang boleh melambatkan kemajuan rakyat.
“Sabah tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar kita. Namun Sabah juga tidak boleh menerima pendekatan yang mana idealisme alam sekitar melambatkan kemajuan rakyat kita.
“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu. Tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada Isnin.
Menurut Hajiji, model pertumbuhan seimbang yang diperjuangkan Sabah merangkumi pembangunan berdisiplin, pemuliharaan bernilai, pelaburan bertanggungjawab serta peralihan tenaga yang mengambil kira kemampuan dan keadilan sosial.
Beliau berkata walaupun Sabah merupakan sebuah negeri kecil, negeri itu memiliki aset dan kekuatan yang semakin bernilai dalam dunia hari ini.
Katanya, Sabah mempunyai modal semula jadi yang kaya, biodiversiti luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, selain potensi tenaga, kedudukan strategik serta kestabilan politik.
“Dan yang paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan,” katanya.
Hajiji berkata Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan, memelihara biodiversiti penting dunia serta mengekalkan antara kadar kawasan perlindungan tertinggi di rantau ini.
Menurut beliau, Sabah kini diiktiraf sebagai antara peneraju pemuliharaan di Malaysia dan Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan terbaik sebagai destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan.
Katanya, fasa pertumbuhan hijau Sabah kini bergerak ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai ekonomi.
“Kita sedang beralih daripada melindungi sumber kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut.
“Kita juga sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau,” katanya.
Beliau berkata usaha itu termasuk membangunkan pasaran karbon yang berwibawa, menarik pelaburan hijau berkualiti serta memperluas industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mahu memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti setempat turut mendapat manfaat daripada rantaian nilai ekonomi hijau.
Hajiji berkata Sabah telah lama melaksanakan agenda pemuliharaan sebelum isu kemampanan menjadi perhatian global.
“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya.
Beliau berkata WGSS menjadi platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.
Namun katanya, kemampanan bukan sekadar kedengaran baik di dewan persidangan, sebaliknya perlu praktikal dan mampu dilaksanakan di lapangan.
“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti.
“Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil. Ia mesti mampu dilaksanakan dan paling penting, ia mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.



