KOTA MARUDU: Tanaman jagung bijirin berpotensi besar untuk dibangunkan secara komersial di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan yang mencecah kira-kira RM800 juta setahun.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini tahap sara diri (SSL) pengeluaran jagung bijirin di Sabah masih rendah iaitu sekitar dua peratus sahaja.
Katanya, keadaan itu menunjukkan Sabah hanya mampu mengeluarkan kira-kira dua peratus keperluan makanan ternakan ayam dan haiwan lain, manakala selebihnya masih bergantung kepada import.
“Tanaman jagung bijirin mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara komersial di Sabah, sekali gus membantu mengurangkan import makanan ternakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Ladang Projek Penanaman Jagung Bijirin di Kampung Masolog, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek yang diusahakan EMAT Sdn Bhd bersama Koperasi Tanjung Kelamat itu kini memasuki musim kedua penanaman menggunakan sistem mekanisasi sepenuhnya.
Beliau berkata, pada musim pertama projek itu berjaya menghasilkan kira-kira lima tan sehektar, manakala potensi sebenar tanaman boleh mencecah antara lapan hingga sembilan tan sehektar sekiranya amalan pertanian baik dilaksanakan.
“Dengan harga pasaran sekitar RM1,400 setan dan kos pengeluaran kira-kira RM800 setan melalui mekanisasi, tanaman ini mempunyai margin keuntungan yang baik untuk diusahakan secara komersial,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi berkata, kementeriannya menyediakan insentif sebanyak RM5 juta tahun ini bagi membantu pengusaha yang berminat menceburi tanaman jagung bijirin.
Katanya, kementerian turut menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran teknikal melalui Jabatan Pertanian bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut meminta Korporasi Pembangunan Desa (KPD) meneruskan semula projek tanaman jagung komersial di Terusan Sapi yang dilaksanakan pada 2024.
“Kita masih mempunyai baki peruntukan sekitar RM2 juta dan bercadang membangunkan sehingga 300 hektar kawasan sesuai untuk tanaman jagung di sana,” katanya.
Beliau yakin kerjasama antara KPD dan EMAT mampu merealisasikan pembangunan tanaman jagung secara berskala besar berdasarkan kejayaan projek perintis seluas 50 hektar di Kota Marudu.
Menurutnya, penggunaan teknologi dan jentera moden yang diuji selama dua musim di kawasan itu terbukti sesuai dengan keadaan di Sabah.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga membantu mengurangkan kos serta memperkasakan petani tempatan,” katanya.
Jamawi berkata, Kota Marudu telah lama digazetkan sebagai kawasan pengeluaran utama tanaman jagung selain tanaman lain seperti kopi.
Beliau turut memaklumkan perjanjian kerjasama antara KPD dan EMAT dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan sasaran ditandatangani sekitar Jun ini.
Sementara itu, katanya, KPD yang kini mengeluarkan sehingga 200,000 ekor ayam pedaging sebulan berpotensi mengurangkan kos makanan ternakan sekiranya mengusahakan tanaman jagung sendiri.
“Tahun lalu sahaja KPD merekodkan jualan sebanyak RM106 juta dan usaha ini mampu meningkatkan lagi keuntungan mereka,” katanya.
Selain jagung, Jamawi berkata, usaha meningkatkan SSL padi turut dipergiatkan termasuk pembangunan kawasan di Terusan Sapi yang kini mencapai kira-kira 800 hektar daripada sasaran lebih luas.
Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta melalui Kementerian Ekonomi bagi membangunkan sistem pengairan di kawasan itu yang mampu menyokong tambahan 1,000 hektar tanaman.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 3,000 hektar kawasan sawah terbiar di Kota Marudu serta jumlah sama di Kota Belud yang berpotensi dibangunkan semula.
Terdahulu, Jamawi memulakan lawatan seawal jam 7.30 pagi ke Kampung Taiwan bagi meninjau projek penanaman padi yang dikendalikan dua syarikat tempatan sebelum melawat sebuah kilang padi di Kampung Damai.
Katanya, lawatan itu turut melibatkan beberapa projek pertanian lain termasuk ladang jagung seluas 50 hektar dan 100 hektar yang diusahakan bersama penduduk kampung serta projek padi oleh Sawit Kinabalu.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri, sektor swasta dan petani penting bagi memastikan potensi pertanian negeri dapat dimaksimumkan.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan tahap sara diri negeri, membantu petani serta memastikan bekalan makanan lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.



