HomeUtamaGagal patuhi SHMMP, peniaga di Labuan dikompaun

Gagal patuhi SHMMP, peniaga di Labuan dikompaun

Read Time:1 Minute, 12 Second

LABUAN : Seorang peniaga runcit di sini dikenakan kompaun selepas didapati tidak mematuhi syarat pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Gawai 2026.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDN di beberapa premis perniagaan sekitar bandar Labuan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual barangan harga terkawal tanpa mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu sebagaimana yang diwajibkan sepanjang tempoh SHMMP berkuat kuasa.

“Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

” Susulan itu, kompaun telah dikeluarkan ke atas peniaga berkenaan di lokasi pemeriksaan selepas pengakuan kesalahan dibuat. 

“Kegagalan menggunakan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna selain menjejaskan ketelusan maklumat harga semasa musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Junaidah berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000. 

Menurutnya, bagi syarikat atau pertubuhan, hukuman denda boleh mencecah RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperhebat aktiviti pemantauan dan pemeriksaan pematuhan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta memastikan kebajikan dan hak pengguna sentiasa terpelihara sepanjang tempoh SHMMP dilaksanakan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dipenjara 10 tahun, dua rotan rogol anak tiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular