Oleh Wan Azrain Adnan
Semakin ramai bakat muda negara berpeluang melangkah ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Peningkatan ini selari dengan matlamat untuk melahirkan modal insan yang memiliki pengetahuan dan kemahiran bagi mendokong agenda pembangunan negara.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke IPTA menerusi sistem UPUOnline.
Jumlah tersebut mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan yang diterima.
Secara ringkas, tawaran berkenaan merangkumi empat kategori IPTA dengan 363 program pengajian yang terdiri daripada 41 program sijil, 57 program asasi, 264 program diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
Pecahan tawaran adalah seperti berikut:
- Universiti Awam (UA): 91,357
- Politeknik: 60,947
- Kolej Komuniti: 15,844
- MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT): 1,655
KPT turut menegaskan bahawa tawaran tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, selaras dengan usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.
Daripada jumlah keseluruhan tawaran itu, lebih enam peratus atau 10,499 tempat diberikan kepada calon daripada kategori berpendapatan rendah B40.
Berdasarkan data yang diumumkan KPT, jumlah permohonan kemasukan ke IPTA menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Jumlah permohonan meningkat hampir 10 peratus daripada 214,173 bagi lepasan SPM 2023 kepada 235,480 bagi lepasan SPM 2025.
| Lepasan SPM | Jumlah Tawaran | Jumlah Permohonan | Peratus Kejayaan | Jumlah Program |
| SPM 2025 | 169,803 | 235,480 | 72.11% | 363 |
| SPM 2024 | 150,557 | 223,624 | 67.33% | 349 |
| SPM 2023 | 159,027 | 214,173 | 74.25% | 504 |
Pada masa yang sama, jumlah tawaran kemasukan turut meningkat sekitar tujuh peratus daripada 159,027 pada tahun 2023 kepada 169,803 pada tahun 2025. Malah, peningkatan yang lebih ketara sebanyak 13 peratus direkodkan berbanding tahun sebelumnya.
Peratusan kejayaan permohonan pula menunjukkan turun naik dalam tempoh tersebut.
Secara purata, kadar kejayaan berada sekitar 70 peratus, bermakna tujuh daripada setiap sepuluh pemohon berjaya memperoleh tawaran kemasukan ke IPTA.
Keadaan ini menggambarkan bahawa proses kemasukan ke IPTA negara masih kompetitif.
Satu lagi perkembangan menarik ialah jumlah program pengajian yang ditawarkan telah berkurangan daripada 504 kepada 363 program. Pengurangan ini memberi gambaran bahawa KPT sedang memperkemas penawaran program sedia ada supaya lebih relevan dengan pasaran buruh dan keperluan industri semasa.
Namun begitu, pengumuman KPT tidak memperincikan jumlah permohonan, tawaran dan kadar kejayaan mengikut kategori IPTA serta program pengajian. Data yang lebih terperinci sebegini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai minat, kecenderungan dan hala tuju bakat muda negara.
Peningkatan jumlah permohonan dan tawaran kemasukan ke IPTA sebenarnya memberi isyarat positif terhadap masa depan negara.
Ketika terdapat kebimbangan bahawa sebahagian generasi muda semakin terpengaruh dengan internet, permainan video dan media sosial, data ini menunjukkan masih ramai yang berminat untuk melanjutkan pengajian tinggi demi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
Mereka melihat pendidikan tinggi sebagai laluan untuk menjadi modal insan yang produktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Walau bagaimanapun, masih terdapat puluhan ribu anak muda yang sama ada tidak berjaya memperoleh tempat atau tidak berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut maklumat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 395,740 calon menduduki peperiksaan SPM 2025. Daripada jumlah itu, hanya 235,480 calon atau sekitar 60 peratus mengemukakan permohonan ke IPTA.
Daripada keseluruhan calon SPM tersebut pula, hanya 169,803 orang atau sekitar 43 peratus berjaya memperoleh tawaran kemasukan.
Ini bermakna majoriti calon SPM 2025 tidak memasuki sistem pendidikan tinggi. Berdasarkan kiraan mudah, jumlah mereka boleh melebihi 225,000 orang.
Sudah tentu angka sebenar adalah lebih rendah selepas mengambil kira kemasukan ke institusi pendidikan tinggi swasta di dalam dan luar negara. Namun hakikatnya, jumlah yang tercicir daripada pendidikan tinggi masih besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Kelompok ini lazimnya memasuki pasaran pekerjaan dengan kelayakan SPM sahaja. Mereka berdepan pilihan pekerjaan yang lebih terhad serta potensi pendapatan yang lebih rendah.
Tanpa usaha meningkatkan kemahiran melalui program upskilling dan reskilling yang disediakan kerajaan atau industri, mereka berisiko terus terperangkap dalam kitaran pekerjaan berpendapatan rendah.
Justeru, TVET atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional perlu dilihat sebagai laluan kedua yang sama penting.
Tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik. Sebahagian besar mungkin lebih menyerlah dalam pembelajaran berasaskan kemahiran dan latihan praktikal.
Dalam konteks ini, sistem pendidikan negara perlu menilai semula pendekatan sedia ada yang cenderung menolak semua pelajar ke peringkat seterusnya walaupun prestasi akademik mereka lemah.
Keadaan tersebut bukan sahaja membazirkan masa, tenaga dan sumber, malah boleh menjejaskan masa depan pelajar itu sendiri. Tidak banyak manfaat jika pelajar terus dibawa melalui sistem persekolahan arus perdana tetapi akhirnya gagal mencapai keputusan yang memuaskan dalam SPM.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh meneliti kemungkinan memperkenalkan pengkhususan pelajar lebih awal dan secara lebih meluas.
Sebagai contoh, pelajar yang menunjukkan kecenderungan lebih rendah dalam akademik sejak peringkat sekolah rendah boleh diberikan laluan yang lebih sesuai berasaskan TVET.
Bagi tujuan itu, sebahagian sekolah sedia ada boleh diperkasakan atau ditukar kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik bagi menampung lebih ramai pelajar yang memilih laluan kemahiran.
Namun cabaran terbesar ialah mengubah persepsi masyarakat yang masih melihat pendidikan TVET sebagai pendidikan kelas kedua.
Perubahan persepsi ini bukan mudah. Namun ia perlu dilaksanakan secara berterusan kerana masa depan ekonomi negara semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang tidak semestinya datang daripada laluan akademik tradisional.



