HomeUtamaMasidi puji semangat 16 alumni Yayasan Terengganu tawan puncak Gunung Kinabalu

Masidi puji semangat 16 alumni Yayasan Terengganu tawan puncak Gunung Kinabalu

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengucapkan tahniah kepada 16 ahli Alumni Yayasan Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam ekspedisi yang berlangsung pada 29 hingga 30 Mei lalu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kejayaan itu membuktikan semangat kental, disiplin tinggi serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang pendakian.

Menurutnya, menawan puncak tertinggi negara bukanlah tugas mudah kerana ia memerlukan persediaan rapi, ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta semangat berpasukan yang kukuh.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Alumni Yayasan Terengganu yang berjaya menyempurnakan ekspedisi ini dengan jayanya.

“Saya juga berharap para peserta dapat menikmati percutian di Sabah serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyatnya,” katanya.

Ucapan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin, pada Majlis Pertemuan Program Kibaran Bendera Alumni Yayasan Terengganu bersama ahli alumni berkenaan di Le Meridien Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sementara itu, Johari berkata pencapaian tersebut wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencabar diri, membina daya tahan serta mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti rekreasi dan sukan lasak.

Beliau berharap hubungan baik yang terjalin menerusi program berkenaan akan terus diperkukuhkan sekali gus mengeratkan persahabatan serta semangat perpaduan antara rakyat Sabah dan Terengganu.

Menurutnya, Gunung Kinabalu bukan sahaja destinasi pendakian bertaraf dunia, malah menjadi lambang kebanggaan rakyat Sabah yang mencerminkan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya negeri ini.

Katanya, kunjungan alumni terbabit turut membantu mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan di Sabah yang terkenal dengan keunikan warisan, budaya dan khazanah alam semula jadi.

“Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan bertaraf dunia yang wajar diterokai dan diperkenalkan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Johari turut merakamkan penghargaan kepada Alumni Yayasan Terengganu atas komitmen mereka menganjurkan program yang berteraskan pembangunan sahsiah, semangat berpasukan dan kecintaan terhadap negara.

Beliau berkata, hubungan antara Alumni Yayasan Terengganu dan Kerajaan Negeri Sabah diharap dapat diperkukuhkan melalui pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pembangunan belia, kepimpinan, pendidikan dan kemasyarakatan.

“Semoga ekspedisi ini menjadi pengalaman yang bermakna dan mampu menyemarakkan semangat kecemerlangan, kepimpinan serta perpaduan dalam kalangan ahli alumni,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Alumni Yayasan Terengganu, Yusrisham Ibrahim berkata kejayaan ekspedisi tersebut merupakan hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.

Beliau bersama ahli-ahli alumni turut merakamkan penghargaan kepada Masidi, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Datuk Rusdin Riman serta semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan Ekspedisi Bendera Alumni Menawan Puncak Gunung Kinabalu.

“Sokongan padu daripada pelbagai pihak menjadi pemangkin kepada kejayaan ekspedisi ini yang berjaya memupuk semangat perpaduan, ketahanan diri dan kerjasama dalam kalangan peserta,” katanya.

Ekspedisi itu bermula pada 29 Mei sebelum para peserta berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada awal pagi keesokan harinya.

Selain pendakian, para peserta turut berpeluang melawat beberapa lokasi menarik di Sabah termasuk Sabah Tea dan kawasan sekitar Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Arifin kekal terajui PMBS, tiga jawatan utama tidak dipertandingkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular