BERNAMA
KUALA LUMPUR: YTL Artificial Intelligence (AI) Cloud secara rasminya mencapai status NVIDIA Exemplar Cloud sekali gus menjadikannya antara penyedia infrastruktur awan pertama di Asia yang menerima pengesahan itu, meletakkannya dalam kelompok elit hiperskala global dan awan khusus kecerdasan buatan (AI).
YTL dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif NVIDIA Exemplar Cloud adalah pelan tindakan operasi dan seni bina yang teliti, dan dihasilkan untuk mengurangkan variasi dan kemerosotan prestasi yang sering berlaku dalam persekitaran awan awam.
Menurutnya pengiktirafan berkenaan mengesahkan bahawa infrastruktur penyedia perkhidmatan awan itu memenuhi atau melebihi sasaran prestasi, kecekapan dan kebolehskalaan NVIDIA yang ketat.
“Sebagai antara penerima status NVIDIA Exemplar Cloud pertama di Asia, ini menunjukkan kami mempunyai bakat dan infrastruktur untuk meneraju pembangunan infrastruktur AI bertaraf dunia yang berdaulat, mempunyai prestasi setanding dengan penyedia hiperskala terkemuka di peringkat global,” kata Pengarah Urusan YTL Power International Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Cloud Philip Lin berkata pengiktirafan itu membuktikan kemampuan organisasi dalam mengendalikan beban kerja AI dunia sebenar yang intensif, mengurangkan risiko operasi dan infrastruktur serta membolehkan pelanggan memfokuskan kepada objektif perniagaan utama.
Menurut kenyataan itu, pengesahan berkenaan turut memastikan pelanggan perusahaan mencapai prestasi yang boleh diramal dan pasti berdasarkan penanda aras, asas rujukan dan jangkaan beban kerja NVIDIA sekali gus memaksimumkan pulangan perbelanjaan infrastruktur.
YTL memaklumkan, pencapaian berkenaan mengukuhkan kedudukan YTL AI Cloud sebagai penyedia infrastruktur AI terkemuka dan memperluas akses kepada keupayaan pengkomputeran AI termaju kepada perniagaan, penyelidik, pembangun dan organisasi sektor awam di seluruh Malaysia dan rantau yang lebih luas.
Naib Presiden Seni Bina dan Kejuruteraan Penyelesaian NVIDIA Marc Hamilton berkata YTL AI Cloud yang dibangunkan mengikut piawaian seni bina rujukan Rakan Kongsi Awan (NCP) NVIDIA akan membantu mempercepat penggunaan AI berdaulat, pembangunan model termaju, penyelidikan saintifik serta inovasi di rantau ini.
“Senarai (penyedia) yang semakin bertambah menunjukkan permintaan yang meningkat terhadap infrastruktur awan AI yang dapat memberikan prestasi, kebolehpercayaan dan kecekapan yang konsisten untuk beban kerja AI pengeluaran.
“Kalangan penyedia ini membantu meningkatkan standard prestasi dalam ekosistem awan AI, memberikan lebih banyak pilihan yang disahkan kepada perusahaan, pembangun dan makmal AI untuk latihan penskalaan, inferens dan perkhidmatan AI berejen,” menurutnya.



