HomeUtamaLebih 1,300 Bintang Laut Mahkota Duri disingkir dari terumbu karang Semporna

Lebih 1,300 Bintang Laut Mahkota Duri disingkir dari terumbu karang Semporna

Read Time:2 Minute, 50 Second

SEMPORNA: Pasukan tindak balas pemuliharaan marin yang diterajui komuniti berjaya menyingkirkan lebih 1,300 ekor Bintang Laut Mahkota Duri (Crown-of-Thorns Starfish – COTs) dari terumbu karang di sekitar Pulau Tabawan dan Pulau Adal selepas penularan spesies itu dikenal pasti mengancam ekosistem marin di kawasan berkenaan.

COTs

Operasi selama dua hari pada 1 hingga 2 Jun lalu itu melibatkan penyelam terlatih daripada Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) dari Selakan, Larapan, Mabul dan Kunak yang digerakkan bagi menilai serta menangani penularan spesies pemangsa karang tersebut.

Sepanjang operasi, pasukan terbabit melakukan dua selaman setiap hari dan berjaya menyingkirkan sebanyak 1,318 ekor COTs, terdiri daripada 742 ekor di Pulau Tabawan dan 576 ekor di Pulau Adal.

COTs dikenal pasti sebagai ancaman utama kepada terumbu karang kerana spesies itu memakan tisu karang hidup dan mampu menyebabkan kemerosotan serius ekosistem terumbu apabila populasinya meningkat secara mendadak.

Hasil pemantauan mendapati kebanyakan COTs di Pulau Tabawan tertumpu pada kedalaman antara 18 hingga 20 meter, berkemungkinan kerana kawasan terumbu cetek di pulau itu telah terjejas teruk akibat penularan terdahulu.

Sebaliknya, majoriti COTs yang direkodkan di sekitar Pulau Adal ditemui di kawasan perairan cetek antara satu hingga 10 meter, iaitu habitat karang yang masih sihat tetapi terdedah kepada ancaman pemangsaan.

Pasukan pemantau turut mengesan kesan pemangsaan terhadap komuniti karang yang masih berbaki, termasuk karang lembut, sekali gus menunjukkan pengurangan sumber karang keras sebagai makanan di beberapa kawasan yang telah mengalami degradasi sebelum ini.

Selain itu, fenomena pemutihan karang turut direkodkan di kedua-dua lokasi, namun pada tahap rendah iaitu kurang daripada 10 peratus liputan bagi setiap pulau.

Kehadiran jaring hantu (ghost nets) turut dikesan sepanjang operasi, menunjukkan tekanan berterusan daripada sisa marin terhadap kesihatan terumbu karang di kawasan berkenaan.

Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia Sabah, Adzmin Fatta, berkata usaha pemuliharaan yang diterajui komuniti terbukti antara pendekatan paling berkesan untuk bertindak balas dengan pantas terhadap ancaman yang menjejaskan terumbu karang.

Katanya, kejayaan menyingkirkan lebih 1,300 ekor COTs dalam tempoh dua hari membuktikan kepentingan pelaburan dalam pembangunan kapasiti pemuliharaan di peringkat komuniti.

“Bagaimanapun, ini bukan penyelesaian sekali sahaja. Pemantauan berterusan dan tindakan respons pantas amat diperlukan, khususnya di kawasan seperti Tabawan, Silumpat, Bakungan dan Adal yang berpotensi mengalami penularan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun tahap pemutihan karang yang direkodkan semasa tinjauan adalah rendah, keadaan terumbu karang di seluruh Sabah perlu dipantau secara rapi berikutan peningkatan suhu lautan yang berterusan.

Sementara itu, penyelam daripada Kumpulan Pemuliharaan Marin Kunak-Darvel, Mohd Zaidi Morphy, berkata komuniti tempatan memainkan peranan penting dalam melindungi ekosistem marin kerana mereka berada di lapangan dan mampu mengesan ancaman lebih awal.

“Sebagai penyelam komuniti, kami banyak menghabiskan masa di laut dan di bawah permukaan air. Ini membolehkan kami mengesan ancaman lebih awal dan mengambil tindakan sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar.

“Melindungi terumbu karang bukan sahaja penting untuk kelangsungan hidupan marin, malah bagi memastikan sumber pendapatan komuniti pesisir yang bergantung kepada laut terus terpelihara,” katanya.

Reef Check Malaysia bersama rakan-rakan pemuliharaan komuniti turut menggesa penyelam, pengusaha pelancongan, nelayan dan komuniti pesisir di seluruh Sabah, khususnya di pantai timur, supaya melaporkan sebarang kejadian pemutihan karang serius atau kehadiran luar biasa COTs bagi membolehkan tindakan pengesanan awal dan respons segera dilaksanakan.

Terumbu karang yang sihat memainkan peranan penting dalam menyokong sektor perikanan, pelancongan, perlindungan pantai dan biodiversiti. Justeru, usaha pemantauan berterusan serta kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kelestarian ekosistem marin Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS, UNISSAS meterai kerjasama penyelidikan kearifan tempatan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular