Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya dalam satu pertengkaran yang tercetus apabila wang sewa bilik digunakan olehnya untuk berjudi.
Fikree Kasmuri, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 36 tahun pada jam 5 petang, 12 April lalu, di sebuah bilik sewa di Asia City, dekat sini.
Fikree didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah Seksyen berkenaan.
Mengikut fakta kes, kejadian berpunca apabila berlaku pertengkaran antara tertuduh dan mangsa selepas tertuduh gagal membayar sewa bilik kerana wang berkenaan telah digunakan untuk berjudi secara dalam talian.
Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan menumbuk mangsa di bahagian dahi sebelum mencekik lehernya.
Fakta kes turut mendedahkan bahawa tertuduh sering memukul mangsa setiap kali berlaku pergaduhan antara mereka.
Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Lim Ming Zoong @ Lawrence memohon hukuman ringan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman setimpal perlu dikenakan kerana tertuduh sebagai suami sepatutnya melindungi isterinya dan bukannya mencederakannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.



