HomeUtamaLebih 20,000 petak parkir disediakan di pusat bandar Kota Kinabalu

Lebih 20,000 petak parkir disediakan di pusat bandar Kota Kinabalu

Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan lebih 20,000 petak parkir tersedia di sekitar pusat bandar bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung.

DBKK dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 4,005 petak parkir awam di kawasan pusat bandar dan sekitarnya.

Selain itu, kemudahan parkir bertingkat turut disediakan di Bangunan KK Plaza dengan 452 petak, Menara Jubili (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1 sejam.

Menurut DBKK, selain kemudahan yang disediakan pihak berkuasa tempatan itu, terdapat lebih 19,000 petak parkir yang disediakan bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar.

Antara lokasi yang menawarkan kapasiti parkir yang besar ialah The Shore (711 petak), Wisma Sabah (125), Wisma Merdeka (752), Warisan Square (510), Suria Sabah (2,016), Riverson (760), Plaza Shell (550), Oceanus (815), KK Times Square (3,287), KK Plaza (450), Jesselton Quay (1,148), Jesselton Mall (910), Imago (1,795), Kompleks Asia City (1,581), Centre Point (1,376) dan Api-Api Centre (1,480).

DBKK berkata, kadar parkir di bangunan persendirian juga berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 bagi beberapa jam pertama.

Bagaimanapun, pihaknya mendapati masih terdapat pemandu yang meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan seperti bahu jalan, laluan masuk dan keluar premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, laluan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta lokasi yang menghalang pergerakan trafik.

Menurut kenyataan itu, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu operasi perniagaan dan urusan harian orang awam.

DBKK turut memaklumkan bahawa parkir tidak teratur boleh mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain yang disediakan untuk kegunaan masyarakat.

Sehubungan itu, DBKK menegaskan bahawa penguatkuasaan terhadap kesalahan parkir dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum tindakan diambil, anggota penguat kuasa akan membuat hebahan menggunakan siren atau pembesar suara bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.

Sekiranya arahan tidak dipatuhi atau kesalahan masih berterusan, notis kompaun akan dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagi kes tertentu yang melibatkan halangan kepada lalu lintas, risiko keselamatan awam, kesalahan berulang atau kegagalan mematuhi arahan, tindakan menunda kenderaan akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas semua prosedur dipatuhi.

DBKK turut mengingatkan orang ramai bahawa berjalan kaki dalam jarak munasabah dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar-bandar utama dunia.

Menurutnya, kemudahan parkir di bangunan berhampiran seperti KK Plaza, The Shore dan premis parkir lain boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan selesa.

“Orang ramai diseru agar sentiasa menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan ditetapkan serta merancang perjalanan dengan lebih baik ketika berurusan di pusat bandar.

“Kerjasama dan sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Had umur 16 tahun media sosial lindungi remaja daripada ancaman siber...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular