Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mengambil syabu buat kali ketiga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini.
Roger Jainis, 49, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, Roger didapati telah mengambil dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas sampel air kencingnya disahkan positif dadah dalam satu pemeriksaan yang dijalankan di di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada jam 3.50 petang, 17 Mac lalu.
Semakan rekod mendapati Roger mempunyai dua sabitan lampau bagi kesalahan mengambil syabu masing-masing pada November 2019 dan Mac 2024.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C(1)(b) akta yang sama kerana mempunyai dua sabitan terdahulu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan.
Mahkamah memerintahkan Roger menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya.
Selepas tamat menjalani hukuman penjara, dia turut diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Dalam rayuannya, Roger yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan perlu menjaga ibu bapanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran memandangkan tertuduh merupakan pesalah berulang.



