Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang menilai permohonan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai gabungan itu dengan keputusan dijangka dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada 18 Jun ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, UPKO telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menjadi salah satu parti gabungan GRS pada 29 Mei lalu yang diserahkan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedict bersama kepimpinan tertinggi parti itu.
Menurutnya, ketika ini beliau sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pengurusan UPKO bagi mendapatkan maklumat tambahan sebelum menyediakan kertas pertimbangan untuk dibawa ke Majlis Tertinggi GRS.
“Pada peringkat sekarang ini, saya sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pengurusan UPKO untuk mendapatkan maklumat-maklumat tambahan bagi menyediakan kertas pertimbangan untuk saya angkat kepada Majlis Tertinggi GRS.
“Kita jadualkan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS berlangsung pada 18 Jun ini dan saya sedang berusaha memastikan kertas pertimbangan permohonan UPKO dapat dibentangkan dalam mesyuarat tersebut supaya keputusan dapat dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Inisiatif Ihsan Food Bank di sini pada Ahad.
Armizan berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini mengenai permohonan UPKO menyertai GRS.
Menurutnya, GRS melihat hasrat UPKO itu sebagai perkembangan positif dalam usaha menggabungkan parti-parti tempatan di Sabah di bawah satu gabungan.
Katanya, antara perkara yang dinilai adalah keikhlasan UPKO untuk bersama GRS selain sejarah perjuangan parti tersebut dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.
“Kita melihat keikhlasan di pihak UPKO kerana selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini, UPKO secara sukarela memberikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Itu menunjukkan kesediaan mereka untuk bersama GRS dan memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, UPKO bukan sebuah parti baharu dan mempunyai legasi perjuangan yang panjang, khususnya dalam konteks memelihara hak serta kepentingan negeri Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mana-mana parti yang ingin menyertai GRS perlu komited kepada empat teras perjuangan gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“Paling penting mana-mana parti perlu berpegang dan meyakini empat teras perjuangan GRS tersebut.
“Kita mahu gabungan ini disertai parti yang mampu memberi nilai dan makna kepada gerakan GRS ke hadapan, bukan sekadar menjadi parti penumpang,” katanya.
Tambah Armizan, penilaian terhadap permohonan UPKO turut mengambil kira kekuatan parti itu termasuk jumlah cawangan, bahagian, keahlian, sokongan rakyat, kerusi yang dimenangi serta sejarah perjuangan parti.
Beliau berkata, keputusan akhir akan dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi GRS selepas semua maklumat dan dokumen berkaitan selesai diteliti.
“Kita sedang mengumpulkan maklumat tambahan supaya Majlis Tertinggi GRS dapat membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang lengkap,” katanya. – SABAH MEDIA



