HomeUtamaPelan Pembangunan Pelancongan Sabah siap hujung tahun ini

Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah siap hujung tahun ini

Read Time:2 Minute, 38 Second

TUARAN: Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah jangka panjang yang komprehensif bagi memacu pertumbuhan industri pelancongan negeri, dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan tindakan yang diterajui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu akan menetapkan hala tuju baharu sektor pelancongan Sabah dengan fokus kepada kemampanan, hubungan penerbangan, aspirasi rakyat tempatan serta pembangunan jangka panjang yang melangkaui pelan induk terdahulu.

Beliau berkata, pelan berkenaan menjadi sebahagian daripada persediaan Sabah untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027.

“Dengan pelbagai program yang sedang dilaksanakan ketika ini, saya yakin Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tersebut.

“Tahun lalu, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini menjana pendapatan RM8.74 bilion serta mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, pembukaan Hilton Garden Inn mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek industri pelancongan Sabah, sekali gus menjadi sebahagian daripada komitmen pelaburan berterusan bernilai kira-kira RM500 juta yang turut merangkumi projek pembangunan Hilton pada masa depan di negeri ini.

Menurutnya, pembangunan berkenaan selaras dengan strategi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sektor pelancongan melalui penyediaan penginapan premium dan mampan, penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan serta pemerkasaan perusahaan berasaskan komuniti.

“Yang lebih penting, pembangunan seperti ini turut menyokong pelancongan yang menghormati dan memelihara alam sekitar, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya.

Hajiji berkata, walaupun sektor pelancongan berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan global, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, serta memanfaatkan inovasi digital bagi membina industri pelancongan yang berdaya tahan dan bernilai tinggi.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta warisan budaya negeri.

Beliau turut menyifatkan kehadiran jenama antarabangsa seperti Hilton sebagai faktor yang mampu mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat nasional dan serantau.

Menurutnya, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu bulan lalu serta pembangunan hotel-hotel antarabangsa lain seperti Avani, Fairfield by Marriott, Club Med, InterContinental dan Wyndham menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Ia membuktikan daya tahan industri serta keyakinan rakan strategik kita terhadap potensi Sabah walaupun berdepan ketidaktentuan semasa,” katanya.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana Hilton Garden Inn Kota Kinabalu dibangunkan di daerah Tuaran, yang juga kampung halamannya.

Katanya, dengan kedudukan strategik dan kekayaan tarikan semula jadi yang dimiliki, Tuaran mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelawat serta memberi manfaat kepada perniagaan, usahawan dan komuniti setempat.

Beliau turut memuji pihak pengurusan hotel kerana memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan, khususnya penduduk Tuaran.

“Majoriti pekerjanya terdiri daripada penduduk daerah ini sendiri. Ini mencerminkan aspirasi kita untuk memastikan komuniti setempat menerima manfaat secara langsung daripada setiap pelaburan yang dilaksanakan.

“Hilton Garden Inn melambangkan visi bersama untuk membangunkan sektor pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang memberi manfaat kepada ekonomi negeri serta komuniti tempatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelan tindakan Food Bank Malaysia dilancar tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular