HomeUtamaPelan tindakan Food Bank Malaysia dilancar tahun ini

Pelan tindakan Food Bank Malaysia dilancar tahun ini

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Pelan Tindakan Food Bank Malaysia dijangka dilancarkan tahun ini sebagai panduan utama bagi memperkasa pelaksanaan program bantuan makanan secara lebih sistematik, inklusif dan berkesan di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan itu sedang diperhalusi dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, pelan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (IFB) bagi memperkukuhkan ekosistem pengurusan lebihan makanan dan agihan kepada golongan yang memerlukan.

“Kita berhasrat untuk memperkasakan program Food Bank ini supaya kita dapat mewujudkan, menerbitkan dan menggubal Pelan Tindakan Food Bank Malaysia pada tahun ini juga yang akan menjadi rujukan kepada semua pihak dalam kita menggerakkan hala tuju ke hadapan program ini dengan lebih sistematik, efektif dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif IFB bersama QSR Brands di sini pada Ahad.

Armizan berkata, draf Pelan Tindakan Food Bank Malaysia telah tersedia dan kini pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sebelum dimuktamadkan.

“Kita telah ada drafnya, cuma kita ingin mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh (stakeholders) dan kita sasarkan dapat melaksanakan pelan ini tahun ini.

“Kita tumpukan Pelan Tindakan Sara Hidup dahulu dan kemudian disusuli dengan Pelan Tindakan Food Bank Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan pelan itu akan menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang melibatkan kerjasama antara kerajaan, industri swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi berkaitan.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan program Food Bank bukan sahaja bergantung kepada kerajaan, sebaliknya digerakkan secara bersama melalui satu ekosistem yang tersusun.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat menggabungkan peranan semua pihak supaya usaha pemerkasaan program Food Bank dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Armizan berkata, antara elemen utama dalam Inisiatif Ihsan Food Bank adalah menggabungkan tiga objektif iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

Tambahnya, usaha tersebut juga bertujuan memastikan lebihan makanan (food surplus) yang masih selamat dan berkualiti dapat diselamatkan serta disalurkan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.

“Dengan adanya sistem yang kondusif, kita dapat memastikan lebihan makanan dapat diselamatkan dan memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pendakwah di Sabah wajib melalui tapisan, temuduga sebelum diberi tauliah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular