KOTA KINABALU: Golongan belia Sabah perlu memainkan peranan sebagai penyelesai kepada pelbagai cabaran yang dihadapi negeri dan rakyat, bukannya hanya menjadi pemerhati atau pengkritik.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Noorazmahirah Noorzain berkata, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju pembangunan Sabah menerusi idea, tenaga, kreativiti serta kepimpinan yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Katanya, kehadiran anak muda dari pelbagai daerah di Sabah pada Mesyuarat Agung Pertama Parti Pemuda Pemudi Sejahtera (PPS) membuktikan semangat kesatuan dan keinginan generasi muda untuk bersama-sama membina masa depan negeri masih kukuh.
“Kehadiran anak-anak muda dari pelbagai daerah di Sabah pada hari ini membuktikan bahawa semangat kesatuan dan keinginan untuk membina masa depan negeri masih kukuh dalam jiwa generasi muda kita.
“Ini merupakan petanda positif bahawa anak muda Sabah tidak mahu lagi hanya menjadi pemerhati, tetapi mahu menjadi sebahagian daripada penyelesai kepada cabaran yang dihadapi oleh negeri dan rakyat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini baru-baru ini.
Menurut Noorazmahirah, Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf golongan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan Sabah dan bukan sekadar penerima manfaat kepada dasar-dasar kerajaan.
Beliau berkata, menerusi aspirasi Sabah Maju Jaya, pembangunan modal insan terus diberi keutamaan kerana masa depan negeri bergantung kepada kekuatan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berintegriti serta mempunyai daya kepimpinan tinggi.
“Anak muda perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk menyumbang idea, kepakaran dan tenaga mereka dalam proses membuat keputusan, sektor ekonomi, inovasi teknologi, keusahawanan dan kepimpinan masyarakat.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai cita-cita besar, tetapi juga memiliki keupayaan untuk merealisasikan cita-cita tersebut demi manfaat negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus komited memperkasa pembangunan belia menerusi pelbagai program dan inisiatif yang memberi fokus kepada pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan kapasiti, keusahawanan serta kepimpinan.
Katanya, pelaburan dalam pembangunan belia merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan Sabah terus maju, stabil dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi serta perubahan global.
Dalam pada itu, Noorazmahirah menyifatkan PPS sebagai sebuah platform yang berpotensi besar untuk memperjuangkan suara anak muda serta menjadi penghubung antara aspirasi belia dengan agenda pembangunan di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Saya percaya PPS mampu menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan belia Sabah serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti, matang dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan positif dengan menyebarkan maklumat bermanfaat serta membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.
“Mulai sekarang, jadilah belia yang sentiasa cakna terhadap keadaan sekeliling dan memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat.
“Anak muda harus berani, sentiasa relevan dan menjadi agen penyampai yang baik kepada masyarakat demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang,” katanya.
Pada masa sama, Noorazmahirah berharap PPS terus berkembang sebagai wadah yang menyatukan anak muda tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan daerah, sekali gus memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di negeri ini.



