KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi penekanan kepada pembangunan bakat pelajar khususnya dalam bidang hospitaliti menerusi penganjuran Program Hospitality Fiesta 2.0 yang memberi penekanan kepada aspek kemahiran, kreativiti dan pengalaman praktikal.
Program anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) itu dilihat mampu menjadi ruang pembelajaran luar bilik kuliah yang membantu pelajar memahami keperluan sebenar industri hospitaliti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, bidang hospitaliti memerlukan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah serta tahap profesionalisme tinggi.
Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam pertandingan dan pameran kemahiran menerusi program tersebut dapat membantu meningkatkan keyakinan diri selain memberi peluang kepada mereka menguji keupayaan masing-masing.
“Melalui program seperti ini, pelajar dapat membina pengalaman, mengenal pasti kekuatan diri dan mempertingkatkan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

“Pada masa sama, ia menjadi platform untuk mencungkil bakat serta kreativiti pelajar dalam bidang hospitaliti,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Ts. Dr. Rayner Alfred ketika merasmikan Hospitality Fiesta 2.0 di perkarangan FPEP UMS.
Kasim berkata, kejayaan dalam industri hospitaliti turut bergantung kepada nilai seperti disiplin, etika kerja, komunikasi dan kemampuan bekerja dalam pasukan.
Menurutnya, elemen tersebut menjadi faktor penting dalam melahirkan graduan yang mampu memberikan perkhidmatan berkualiti serta memenuhi kehendak sektor pekerjaan.
Beliau menambah, perkembangan industri pelancongan menjadikan bidang hospitaliti antara sektor yang berpotensi besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Harapan saya agar Hospitality Fiesta ini terus berkembang sebagai program berprestasi tinggi dan menjadi salah satu acara yang mencerminkan kecemerlangan UMS dalam pembangunan modal insan,” katanya.
Turut hadir Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahmie Abd. Karim; Ketua Program Pengurusan Hospitaliti FPEP, Dr. Andi Tamsang Andi Kele; Pensyarah Kursus FPEP, Marry Tracy Anak Pawan serta Pengarah Program, Melshie Malik.



