KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) yang memecat bekas jurutera Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong, daripada perkhidmatan awam 11 hari sebelum tarikh persaraan wajibnya.
Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Teo terhadap Setiausaha SPANS, Jabatan Air Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Dalam alasan penghakimannya bertarikh 9 Jun lalu, mahkamah mendapati keputusan oleh responden pertama bertarikh 16 Januari 2025 telah dicemari ketidaksahan dari segi undang-undang (vitiated by illegality).
Mahkamah memutuskan bahawa responden gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan 232(7) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008 (PPPANS 2008), khususnya kewajipan membayar emolumen yang ditahan kepada pemohon selepas beliau dilepaskan dan dibebaskan tanpa sebarang rayuan.
Mahkamah turut mendapati prosiding tatatertib terhadap Teo dimulakan bertentangan dengan Peraturan 234 PPPANS 2008 kerana ia berasaskan fakta yang pada asasnya sama dengan pertuduhan jenayah yang mana pemohon telah dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya, tanpa mengenal pasti alasan yang berbeza atau bebas daripada pertuduhan tersebut.
“Pelanggaran ini menjadikan keputusan tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan memerlukan campur tangan mahkamah dalam melaksanakan bidang kuasa penyeliaannya. Sehubungan itu, perintah certiorari diberikan untuk membatalkan keputusan tersebut,” kata Dayang Ellyn.
Mahkamah turut memerintahkan supaya Teo dianggap kekal dalam perkhidmatan sehingga persaraan wajibnya pada 27 Januari 2025, dengan hak penuh terhadap pencen, ganjaran serta faedah persaraan lain yang berkaitan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak menghuraikan secara terperinci permohonan perintah mandamus yang dipohon oleh Teo kerana berpendapat perkara tersebut telah diliputi secukupnya melalui pemulihan kedudukan perkhidmatannya.
“Bagi mengelakkan mahkamah memasuki perincian pentadbiran yang berada dalam ruang lingkup perkhidmatan awam negeri, saya tidak bercadang menghuraikan permohonan mandamus secara terperinci kerana perkara itu telah diliputi secukupnya melalui pemulihan kedudukan tersebut.
“Kos sebanyak RM10,000, tertakluk kepada allocatur, hendaklah dibayar oleh responden kepada pemohon,” katanya.
Teo, 61, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram JANS, memperoleh kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman pada Julai tahun.
Beliau yang berkhidmat sebagai Jurutera Gred J52 di JANS telah dipecat daripada perkhidmatan hanya 11 hari sebelum persaraan wajibnya pada 27 Januari 2025. Teo menyertai perkhidmatan Kerajaan Negeri Sabah pada 1989.
Dalam permohonannya, Teo antara lain, memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPANS bertarikh 16 Januari 2025 yang memecatkannya daripada tugas sebagai Jurutera Gred J52 di Jabatan Air Negeri Sabah di bawah Peraturan 246(g) PPPANS 2008.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa tindakan tatatertib tersebut adalah menyalahi undang-undang dan responden gagal mematuhi prinsip keadilan asasi sebelum memecatkannya daripada perkhidmatan, 11 hari sebelum tarikh persaraan wajibnya pada 27 Januari 2025.
Selain itu, Teo turut memohon perintah supaya ketiga-tiga responden membayar gaji penuh, faedah, elaun dan hak-hak lain sehingga tarikh persaraannya, termasuk tunggakan gaji yang didakwa masih terhutang sepanjang tempoh penggantungan tugasnya.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelepasan dan pembebasan penuh terhadap 146 pertuduhan jenayah yang dihadapinya menunjukkan beliau tidak mencemarkan imej dan reputasi perkhidmatan awam.
Untuk rekod, pada 18 Februari 2022, Teo diberikan pelepasan yang tidak membawa kepada pembebasan (DNAA) bagi kesemua 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.9 juta selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut. SPRM kemudiannya mengumumkan bahawa beliau akan dikenakan kompaun sebanyak RM30 juta.
Teo kemudiannya dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah yang sama pada 17 Mac 2022.
Teo diwakili oleh Peguam Daruk Ram Singh dan Elmer Prem Ganasan.



