HomeUtamaUMS tingkat kesedaran pelaburan saham dalam kalangan mahasiswa

UMS tingkat kesedaran pelaburan saham dalam kalangan mahasiswa

Read Time:2 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh usaha melahirkan graduan berdaya saing, celik kewangan dan berkemahiran keusahawanan selaras dengan keperluan dunia pekerjaan serta cabaran ekonomi semasa.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, universiti komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, keusahawanan dan kebijaksanaan mengurus kewangan.

Menurut beliau, keupayaan memahami pengurusan kewangan dan pelaburan kini menjadi satu kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh setiap graduan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

“Pendedahan yang diberikan melalui seminar ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mahasiswa, malah membantu mereka memahami peluang dan cabaran dalam realiti dunia kewangan sebenar.

“UMS sentiasa komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran insaniah, keusahawanan serta kebijaksanaan mengurus kewangan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Celik Saham bertemakan “Dari Kampus ke Bursa: Membina Masa Depan Kewangan Anda” di Dewan Kuliah 1, UMS, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Profesor Datuk Dr. Ismail Ali.

Tambah Kasim, seminar tersebut amat bertepatan dengan aspirasi universiti dalam memperkasa budaya keusahawanan dan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa.

“Kecemerlangan masa depan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi kebijaksanaan dalam mengurus kehidupan dan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris berkata, penguasaan ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan amat penting dalam usaha melahirkan graduan yang lebih kompetitif serta bersedia menghadapi dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Menurut beliau, mahasiswa perlu memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada pakar industri bagi membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan strategik pada masa hadapan.

“Ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan yang diperoleh melalui seminar ini diharapkan dapat membantu para pelajar menjadi individu yang lebih berdaya saing, berfikiran strategik dan bertanggungjawab dalam merancang masa depan kewangan mereka,” ujarnya.

Seminar tersebut menampilkan tokoh pasaran modal dan penganalisis ekonomi negara, Datuk Dr. Nazri Khan sebagai penceramah jemputan yang berkongsi pengalaman industri serta strategi pengurusan kewangan praktikal kepada peserta.

Menurut beliau, generasi muda perlu mula membina kesedaran kewangan sejak di bangku universiti agar mampu membuat keputusan yang lebih bijak dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks.

“Anak muda hari ini bukan sahaja perlu bijak mencari pendapatan, tetapi juga perlu memahami bagaimana mengurus dan mengembangkan kewangan secara berstrategi.

“Mahasiswa perlu berani menimba ilmu dan memahami asas pelaburan terlebih dahulu supaya tidak mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah.

“Pasaran saham bukan sekadar medium pelaburan, malah platform pendidikan kewangan yang mampu membentuk disiplin, pengurusan risiko dan perancangan kewangan jangka panjang,” ujar Nazri.

Sepanjang seminar, peserta turut didedahkan kepada asas pelaburan saham, strategi pengurusan risiko, kaedah analisis pasaran serta kepentingan membuat kajian sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 800 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan universiti dan orang awam, sekali gus membuktikan minat yang tinggi terhadap ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan dalam kalangan generasi muda.

 Penganjuran seminar berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UMS melalui PPIB dan CEDeC dalam memperkasakan mahasiswa dengan ilmu dan kemahiran relevan selaras dengan keperluan semasa industri dan dunia pekerjaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup barangan kawalan di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular