KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk menjadi sebuah pusat penyebaran ilmu pengajian pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan modal insan cemerlang dan berdaya saing.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihaknya juga mahu mengeluarkan graduan yang seimbang dan berketerampilan bagi meningkatkan martabat dan prestij universiti sebagai institusi masyarakat yang unggul dan terkemuka.
Beliau berkata, universiti wujud disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan tinggi.

“Selain bekalan transkrip akademik yang bakal dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri.
“Justeru, suka untuk saya ingatkan, ikuti dan sertailah segala program kurikulum dan kokurikulum serta saya doakan agar anda semua mampu memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha dalam menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) Program Asasi Sesi 2026/2027 kali ke-17 di sini pada Selasa.

Dr Kasim berkata, beliau turut berharap agar para pelajar dapat membina rasa kebersamaan dan semangat kekitaan sebagai sebahagian daripada keluarga besar UMS.
“Jagalah nama baik universiti ini dengan akhlak, disiplin, integriti dan tingkah laku yang mencerminkan identiti mahasiswa UMS,” katanya.
Terdahulu, seramai 1,088 pelajar baharu Program Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi akademik 2026/2027 secara rasmi menamatkan MSM.
Sementara itu, Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Profesor Madya ChM. Dr. Newati Wid berkata, jumlah tersebut mencerminkan komitmen UMS dalam melahirkan bakat berpotensi dari seluruh negara, melibatkan empat program iaitu Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat, Asasi Agrisains dan Asasi Sains Sosial.
Menurut beliau, program asasi berperanan sebagai fasa peralihan penting daripada alam persekolahan kepada budaya pembelajaran universiti yang menuntut pemikiran lebih matang dan kritis sebelum melangkah ke peringkat ijazah.



